Selepas isu Cadbury, keyakinan terhadap logo halal meningkat, kata Jakim


JAKIM_250614_TMISHAFIQ_02

(TMI) – Kepercayaan masyarakat terhadap logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah pudar, malah semakin meningkat walaupun selepas kontroversi coklat Cadbury, kata Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Muhammad Naim Mohd Aziz.

Naim berkata, sistem pemeriksaan mengejut yang diamalkan Jakim turut menjadi kekuatan integriti logo halal berkenaan.

“Keyakinan pengguna terhadap logo halal tidak pudar, sebaliknya semakin bertambah kerana pensijilan halal ini ada pemeriksaan berkala.

“Pemeriksaan kita buat secara mengejut, dan kita menilai adakah syarikat ini patuh atau tidak, jika tidak, kita akan war-warkan kepada umum,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider di Putrajaya baru-baru ini.

“Maknanya, konsep pensijilan halal kita telus dan ada integriti, walaupun mereka pemegang sijil halal dan mereka melakukan kesilapan, kita akan maklumkan kepada umum,” katanya.

Naim bagaimanapun berkata, isu produk yang mengandungi babi itu tidak memberikan kesan kepada sijil halal mereka dan tidak memudarkan kepercayaan masyarakat terhadap persijilan halal Jakim.

Sebaliknya beliau berkata, rakyat semakin mempercayai mereka ekoran integriti dan ketegasan Jakim dalam proses penguatkuasaan sijil tersebut.

Beliau berkata, terdapat 56 logo halal di pasaran Malaysia untuk pelbagai produk dari 33 negara di seluruh dunia.

Katanya, semua logo berkenaan adalah daripada 72 badan Islam serta pihak berkuasa agama negara tersebut yang mempunyai kerjasama dengan Jakim.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia, hanya Jakim dan pihak berkuasa agama negeri yang berhak mengeluarkan sijil halal.

“Tiada pihak lain yang boleh mengeluarkan sijil halal di Malaysia, kecuali Jakim dan pihak berkuasa agama negeri.

“Tetapi khususnya produk import, kita ada kerjasama dengan badan Islam luar negara, 72 badan Islam beserta pihak berkuasa yang kita iktiraf kompeten dalam mengesahkan produk halal.

“Fungsi mereka hampir sama macam kita (Jakim), cuma peranan mereka di negara mereka, dan mereka keluarkan sijil halal,” katanya.

Isu pengesahan sijil halal baru-baru ini timbul ekoran isu coklat Cadbury yang didapati Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengandungi DNA babi.

Susulan insiden itu, banyak pihak menyalahkan Jakim dan mempersoalkan kredibiliti sijil perakuan halal yang dikeluarkan pihak berkuasa agama itu.

“Betul, memang ada 56 bentuk logo di pasaran,”katanya, dan menambah, semua logo yang dikeluarkan itu mendapat perakuan Jakim selepas proses pemeriksaan halal daripada agensi berkenaan dinilai dan melalui pemeriksaan yang ketat daripada Jakim.

Beliau berkata, antara logo yang berada di pasaran Malaysia adalah dari negara Asia Tenggara, termasuk Australia.

“Dari kawasan Asia Tenggara, kita ada 1 logo masing-masing daripada Thailand, Indonesia, Singapura, dan Vietnam. Filipina ada dua logo, manakala Australia mempunyai beberapa logo, kerana negara mereka besar,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pengguna agar melakukan semakan terhadap logo berkenaan bagi mengelakkan penyalahgunaan logo halal.

“Kita perlu semak adakah itu logo yang diiktiraf atau sebaliknya,” katanya.

Selain isu coklat Cadbury, turut terdapat beberapa produk sebelum ini yang disahkan mengandungi DNA babi, antaranya termasuk isu mentega Pure Creamery Butter-Golden Churn yang digunakan dalam proses pembuatan kek lapis Sarawak.

Pendedahan Jabatan Agama Islam Sarawak pada 19 Julai 2011 itu memberikan kesan kepada industri berkenaan, namun syarikat pengeluar mentega tersebut yang berpangkalan di Switzerland, Ballantyne Food turut mengakui produk mereka mengandungi DNA babi.

Naim berkata, pensijilan halal Jakim bukan prosedur wajib, sebaliknya permohonan berkenaan adalah inisiatif sukarela yang perlu dimohon oleh pengeluar mana-mana produk.

“Sijil halal juga memberikan keyakinan kepada pembeli.

“Bagaimanapun tidak bermakna kalau tiada logo halal itu tidak halal, mana-mana pihak boleh mohon, namun apabila dimohon, mereka tertakluk kepada undang-undang kita,” katanya.

 



Comments
Loading...