Dulu, ‘Melayu tidak akan hilang di dunia’, sekarang, ‘Melayu akan hilang dunianya’


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_AspanAlias_zpsad6a015f

Aspan Alias, The Malaysian Insider

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan tentang keresahan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kedudukan bangsa Melayu di dalam pembangunan Johor Baru yang akan merupakan pembangunan fizikal yang begitu drastik seperti yang dirancang.

Pelan pembangunan Johor Baru itu merupakan pelan pembangunan yang akan memberikan imej Johor Baru sebagai New York dalam mana akan terdapat puluhan bangunan pencakar langit dengan “finishing” struktur yang mahal-mahal dan akan membuatkan orang Melayu tertinggal kebelakang lebih jauh lagi.

Justeru, “ultimate” kita untuk melihat setiap bangsa duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi tidak akan tercapai dan Melayu akan berada dalam keadaan seperti “itik kehausan dalam air” dan “ayam mati dalam kepuk padi”.

Bagi orang seperti saya tidak pula saya tahu pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Johor itu mengambil kira isu ini kerana kestabilan politik negara kita besar penggantungannya kepada kedudukan bangsa Melayu yang merupakan bangsa yang terbesar di negara ini.

Datuk Seri Najib Razak yang secara tidak langsung mengaku dirinya sebagai seorang yang sangat berkepimpinan itu diharap berfikir panjang tentang apa yang hendak dilakukan itu, membuktikan kepimpinan beliau di sini.

Pemimpin yang sebenarnya berkepimpinan akan berjaya mengimbangi kemajuan semua bangsa yang berada di dalam negara ini tetapi apa yang akan berlaku di Johor Baru adalah sebaliknya. Orang Melayu akan berundur jauh disudut dunia nanti.

Saya ingin menarik perhatian ramai kepada kenyataan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri semasa berucap dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung Umno pada tahun 1972 dahulu.

Perhimpunan itu merupakan perhimpunan agung yang terakhir yang beliau hadir sebelum beliau meninggal pada tahun 1973 dahulu.

Orang yang masih hidup dan sihat yang berada bersama dalam Majlis Tertinggi Umno semasa itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah sahaja. Dr Mahathir beluim lagi diterima kembali ke dalam Umno dan beliau semasa itu berada di luar Umno setelah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969.

Tun Dr Ismail memberikan alasan kenapa kerajaan tidak mahu bertindak untuk membangunkan negara dengan cepat sedangkan semasa itu kata beliau, kita mampu mungkin untuk mencapai pembangunan pesat sehingga sepantas “double-digit growth”.

Tetapi adalah dalam perancangan kerajaan untuk memperlahankan pembangunan untuk mempastikan sudah ada persediaan bagi kaum-kaum yang ketinggalan dari semua sudut untuk bersama-sama menikmati pembangunan yang bakal kita lalui nanti.

Dr Ismail bercakap dengan penuh kesedaran betapa perancangan yang teliti dilakukan bagi mempastikan negara dibangunkan dengan mengendung sekali matlamat untuk menjadikan keseimbangan kedudukan semua bangsa yang dikatakan “berdiri sama tinggi duduk sama rendah itu”.

Pimpinan semasa itu memikirkan banyak perkara dan isu sebelum merancang pembangunan negara agar tidak menghasilkan kecelaruan kepada rakyat yang berbilang kaum ini.

Perancangan semasa itu penuh dengan “wisdom”. Segala perancangan untuk rakyat dan negara itu difikirkan betul-betul dengan matlamat yang jelas dan laluan ke matlamat itu jelas dan telus.

Itu sebabnya dalam era tujuh puluhan selepas kematian Dr Ismail kerajaan sesungguhnya melaksanakan impian kerajaan itu dengan sepenuhnya tanpa banyak memikirkan untuk kepentingan keluarga dan peribadi.

Itu sebabnya pimpinan semasa itu mudah melaksanakan segala dasar kerana sifat mereka yang jujur terhadap tanggungjawab mereka yang hanya untuk negara.

Mempertimbangkan cara dan kaedah serta kepantasan pembangunan pun ditentukan dengan semangat dan jiwa untuk rakyat.

Di samping membangunkan negara pimpinan semasa itu mengendung sekali tanggungjawab untuk tidak meninggalkan tanggungjawab terhadap bangsa yang ketinggalan yang kebetulan adalah di kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera.

Semua syarikat “public companies by guarantee” yang kini dipanggil GLC bertanggungjawab untuk membangunkan perniagaan dan memegang perniagaan itu sebagai “trustee” terhadap orang Melayu dan Bumiputera.

Dalam hujung tahun tujuh puluhan dan awal 80an syarikat-syarikat GLC yang maju itu dipindahkan kepada bumiputra yang masih belum berkemampuan untuk melalui saham amanah dan berbagai-bagai cara lagi.

Tetapi kini GLC diperguna oleh mereka yang rapat dengan kuasa untuk kepentingan beberapa kerat yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan syarikat-syarikat tersebut.

Malahan GLC tidak pun memberikan manfaat kepada bumiputra sampai ke hari ini sejak tahun 80an dahulu.

GLC hanya membentuk dan membina ego sebahagian kecil beberapa kerat individu yang dianggap professional dan dasar untuk memberikan faedah kepada orang Melayu dan Bumiputera itu diabaikan sama sekali.

Sampai sekarang matlamat penyertaan orang Melayu dan Bumiputera untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi itu tidak tercapai dan ia tidak mungkin tercapai sampai bila-bila.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...