Yayasan sasar tiga ribu mualaf


nicholas sylvester

(FMT) – Yayasan Pusat Hidayah (HCF), sebuah institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri, mensasarkan untuk mendapatkan 3,000 mualaf tahun ini daripada semua 25 cawangannya di seluruh negara.

Pengerusi Hidayah, Nicholas Sylvester, berkata sasaran itu mampu dicapai kerana usaha berterusan dilakukan di semua cawangan.

“Hidayah akan terus menguruskan para mualaf dengan menyediakan  bimbingan, pendidikan dan perlindungan daripada ancaman luar, terutama daripada keluarga yang tidak dapat menerima keputusan mereka menukar agama,” kata Nicholas yang berada di Kota Kinabalu untuk majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama 500 mualaf.

Beliau juga mendedahkan bahawa, yayasan itu akan menganjurkan pelbagai program untuk menerangkan berkenaan agama Islam kepada keluarga mualaf dan komuniti mereka.

Nicholas, berasal dari Sabah berkata, penukaran agama para Mualaf lebih diterima pada hari ini berbanding sebelum ini apabila “ahli keluarga atau masyarakat akan mengancam mereka kerana meninggalkan agama lama mereka”.

“Yayasan akan membantu Mualaf dengan proses pembelajaran atau jika mereka menghadapi masalah,” kata Nicholas.

“Para Mualaf digesa untuk terus membaca al-Quran, belajar bahasa Arab, selalu menghadiri masjid, bergaul dengan orang Islam yang boleh membimbing mereka dan berkongsi pengalaman dengan ahli-ahli keluarga yang bukan beragama Islam.”

Mualaf juga digesa menghormati ibu bapa walaupun mereka kekal dengan iman lama. Penubuhan Yayasan itu bermakna sokongan lebih baik untuk Mualaf dan ahli keluarga mereka, katanya.

 



Comments
Loading...