Pemuda Pas Selangor mahu Khalid kekal
(Sinar Harian) – Pemuda Pas Selangor hari ini mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan mengingatkan sebarang usaha mengganti dan melantik menteri besar baharu mesti mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Ketua Pemudanya Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, PR tidak boleh menafikan kecemerlangan perkhidmatan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada PRU13 lepas.
“Kami menyokong penuh kenyataan Persuruhjaya Pas Selangor Ir Iskandar Samad yang menegaskan bahawa Abdul Khalid perlu dikekalkan sebagai MB Selangor.
“Menjustifikasikan tindakan beralasan memperkukuhkan kestabilan PKR semata-mata bukanlah alasan yang terbaik dalam memperjudikan kepercayaan rakyat yang terbina selama ini kepada PR di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Syarhan turut mengingatkan kepada pihak yang terlibat dalam isu percaturan menteri besar ini agar tidak bertindak semberono.
“Pemuda Pas Selangor mengingatkan pihak yang bersungguh dalam ‘movement’ ini agar tidak gopoh hanya kerana ingin meraih untung secupak tetapi rugi segantang.
“Amanah yang terhampar untuk kita fokus dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat jangan dipersiakan, ayuh kita usahakan agar Pakatan Rakyat sentiasa terkehadapan dalam menunaikan tanggung jawab ini,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu bersetuju untuk memilih Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid.