Nak turunkan TS Khalid hanya dengan usul undi tidak percaya sahaja


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_anwar-khalid

Berjayakah Anwar menekan PAS untuk memberikan sokongan terhadap tekanan Anwar?

Aspan Alias

TS Khalid berkata, mana-mana parti melalui ahli-ahli Dewan Undangan Negeri boleh mengemukakan kepada Speaker Dewan Undangan untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada beliau kerana prosidiur itu sememangnya ada dalam perlembagaan negeri.

Beliau menyatakan di Kajang malam tadi itu sahaja caranya yang boleh mengundurkan beliau dari jawatan Menteri Besar itu. Selain dari itu beliau akan tetap Menteri Besar sehingga pilihanraya yang akan datang.

Kata-kata Khalid itu benar, dan Selangor pernah mengalami isu ini semasa Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan Dato Harun Idris dan undi tidak percayalah yang menurunkan Harun dari jawatan itu pada tahun 1976 dahulu. Melantik seorang Menteri Besar itu mudah tetapi hendak menyingkirkannya terpaksa melalui prosidiur yang rumit.

Negeri Selangor menghadapi krisis seperti ini pada tahun 1975/1976 apabila Perdana Menteri Dato Hussein Onn yang baru sahaja mengambil alih kepimpinan negara, tidak sehaluan dengan Dato Harun Idris, Ketua Permuda dan Menteri Besar Selangor dan beliau mahukan Harun diturunkan dari jawatan Menteri Besar.

Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh pucuk pimpinan UMNO untuk menurunkan Harun kerana beliau mendapat sokongan padu dari Dewan Undangan Negeri Selangor. Dewan Undangan Negeri Selangor telah secara sebulat suara membuat ketetapan untuk membawa undi tidak percaya kepada beliau pada 18 November 1975 bagi menentang kehendak pucuk pimpinan UMNO di peringkat persekutuan semasa itu.

Hampir kesemua ADUN Selangor telah di punggah oleh pihak yang mahukan Harun turun dari jawatan beliau itu ke Bukit Frazer untuk memaksa ADUN-ADUN ini mengemukakan usul tidak percaya kepada Harun Idris sehari sebelumnya iaitu pada 24 hb Mac 1976.

Akhirnya Dewan Undangan Negeri Selangor telah tunduk dengan kehendak pucuk pimpinan semasa itu dan satu usul tidak percaya terhadap Harun telah di bawa dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada 25 mac 1976 beberapa bulan selepas usul kepercayaan yang telah dibuat oleh Dewan yang sama pada 18 Nov 1975.

Usul itu telah dicadangkan oleh Pemangku Menteri Besar Dato Hormat Rafei dan usul itu berbunyi, “Bahawa Dewan ini tiada lagi kepercayaan terhadap YAB Dato Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor, dan ketetapan mengenai kepercayaan terhadap beliau yang dibuat oleh Dewan ini pada 18 hb November 1975 dengan ini terbatal”

Maka Dato Harun pun telah jatuh sebagai Menteri Besar walaupun ramai-ramai yang membuat usul itu melakukannya dengan berat hati. Mereka semua adalah anak-anak didik Dato Harun sendiri tetapi oleh kerana tekanan yang begitu hebat dari pusat maka mereka tunduk dengan tekanan itu.

25 orang Ahli Dewan Undangan Negeri telah memberikan sokongan dan empat orang berkecuali yang terdiri dari Salmah Shamsudin (Semenyeh), Zakaria Yahya (Gombak) Onn Haji Ismail (Sementa) dan Jabar Mohamed Yusuf ( Bebas Batu Laut). Dua orang tidak hadir yang terdiri dari Hj Hamdan Haji Bakri (Sg Panjang) dan Fan Yew Teng (DAP Petaling).

Jika ia hendak dilakukan terhadap Khalid Ibrahim ia boleh dilakukan. Tetapi berjayakah Anwar menekan PAS untuk memberikan sokongan terhadap tekanan Anwar jika ia berlaku?

Read more at: http://aspanaliasnet.blogspot.com/2014/07/nak-turunkan-ts-khalid-hanya-dengan.html

 

 



Comments
Loading...