Pas tidak dengar cakap ‘orang luar’


Mustafa Ali

(Utusan Malaysia) – Pas tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak di luar parti untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki yang didakwa mengemukakan cadangan mengkhianati pakatan pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan ke atas ahlinya hanya akan dibuat berdasarkan laporan dalaman oleh kalangan anggota parti dan bukannya pihak lain.

Beliau bagaimanapun menjelaskan belum mengetahui punca sebenar yang membangkitkan dakwaan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli terhadap Mohd. Zuhdi sehingga meminta Pas bertindak.

“Saya tak baca apa benda dia punya alasan. Kita tak ambil tindakan daripada orang-orang luar cakap. Tindakan disiplin dibuat berdasarkan laporan dalam kalangan ahli Pas sendiri,” ujar beliau berhubung rentetan isu berkaitan dengan kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mohd. Khalid Ibrahim.

Katanya, jika soal meninggalkan pakatan pembangkang, itu tidak berbangkit kerana pendirian rasmi parti, malah pendirian pemimpin termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah jelas bahawa UMNO tetap menjadi lawan dalam politik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama-sama Anak-anak Terengganu di Perantauan di Markas Tarbiyah Pas, Kuala Ibai di sini malam tadi.

Rafizi mendakwa mesej kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat tentang senario yang dijangka berlaku sekiranya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang menggambarkan kewujudan unsur-unsur khianat dalam kalangan pimpinan tertinggi parti tersebut dengan sikap bermuka-muka.

Katanya, pendapat dan sentimen yang dinyatakan oleh Mohd. Zuhdi dalam mesej yang dipercayai dibocorkan oleh seorang pemimpin Pas itu bercanggah dengan janji-janji yang dimeterai parti tersebut dalam pakatan pembangkang.

Rafizi meminta agar tindakan disiplin diambil ke atas Mohd. Zuhdi apabila beliau mengutarakan cadangan yang khianat kepada perjanjian yang Pas meterai dengan pakatan pembangkang dan rakyat yang mengundi parti itu serta pakatan pembangkang.

Selain itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan Mohd. Zuhdi sangat tidak bertanggungjawab dan ada unsur-unsur membelot kepercayaan rakyat.

Cadangan untuk membentuk kerajaan negeri Selangor adalah satu pengkhianatan bukan sahaja kepada PKR dan DAP tetapi juga kepada rakyat Selangor khasnya kaum Cina yang memberikan mandat kepada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sehubungan itu, Siew Fook meminta pemimpin Pas Pusat mengambil satu pendirian yang tegas tentang cadangan Mohd. Zuhdi dan mengenakan tindakan sewajarnya ke atas pengarah operasi tersebut untuk mengembalikan keyakinan pengundi dan penyokong pakatan pembangkang di seluruh negara terhadap parti berkenaan.

Sementara itu Mustafa berkata, soal sama ada pendirian tegas Abdul Hadi mempertahan kepemimpinan Abdul Khalid turut mewakili suara parti hanya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi parti pada 10 Ogos depan.

Mustafa hanya memberi bayangan itu ketika pergeseran pendapat dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas semakin jelas berhubung kemelut kepimpinan di Selangor selain pertentangan pendirian sebahagian pemimpin parti tersebut dengan PKR.

“Tunggulah mesyuarat 10 Ogos ini. Kita akan bawa cadangan itu kepada mesyuarat, tak berbangkit soal Pas setuju atau tak setuju. kita akan bawa dulu, bincang dan selepas itu baru ada keputusan macam mana,” ujarnya.

Katanya, Abdul Hadi sendiri yang akan mempengerusikan mesyuarat itu kelak dan keputusan hasil perbincangan tersebut merupakan pendirian sebenar dan yang rasmi bagi parti.

 



Comments
Loading...