Situasi air Selangor


jacob george

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) amat bimbang dengan situasi bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini. Berdasarkan maklumat empangan dalam laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), paras simpanan air bagi empangan terbersar di Selangor iaitu Empangan Sungai Selangor yang menyalurkan air bersih kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang kini hanya tinggal 33.46 peratus (setakat 8 pagi, 31 Julai 2014).

Dalam isu pengambilalihan syarikat konsesi air oleh Kerajaan Negeri Selangor, CASSA setuju bahawa Kerajaan Negeri Selangor merupakan agensi yang paling sesuai untuk mengendalikan industri air di Selangor. CASSA sebagai persatuan pengguna menyokong setinggi-tingginya tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyegerakan proses pengambilalihan dengan serta-merta.

Malangnya, proses pengambilalihan ini telah dilambatkan lagi dengan kekecohan dan ketidakpuashatian serta pandangan berbeza yang timbul di kalangan ahli-ahli politik. Sebagai persatuan pengguna, kami ingin menekankan agar isu air di Selangor tidak dipolitikkan lagi kerana rakyat Selangor sudah sangat derita dan sengsara dengan masalah bekalan air yang berlaku.

Saya juga ingin highlight kenyataan YB Rafizi Ramli yang begitu kebudak-budakan yang mendakwa beberapa pihak berkonspirasi dalam isu pengambilalihan industri air Selangor. Sebagai Pengarah Strategi PKR, YB Rafizi Ramli sepatutnya menggunakan kebijaksanaan beliau untuk menyokong Kerajaan Negeri Selangor bagi mempercepatkan proses pengambilalihan industri air di Selangor dan bukannya melengah-lengahkan lagi dengan isu konspirasi oleh Menteri Besar syarikat-syarikat konsesi air dan lain-lain lagi.

Selain itu, YB Rafizi Ramli sebelum ini juga mengatakan bahawa terma perjanjian air akan dikaji semula sekiranya Selangor mendapat Menteri Besar baru. Dalam hal ini, adakah proses pengambilalihan ini perlu dilengah-lengahkan lagi? Proses pengambilalihan industri air ini telah memakan masa sejak tahun 2008. Adakah semua wakil di Kerajaan Negeri Selangor dan agensi-agensi lain yang berkaitan dalam perjanjian air ini tidak boleh dipercayai?

Seperti yang sedia maklum, Kerajaan Negeri Selangor memiliki 30% saham SYABAS. Oleh demikian, segala terma perjanjian dan pampasan juga melibatkan Kerajaan Negeri Selangor sendiri. Justeru itu, adalah sungguh tidak matang apabila YB Rafizi Ramli mengatakan  bahawa terma perjanjian air perlu dikaji semula padahal terma perjanjian tersebut ditetapkan oleh Kerajaan Negeri sendiri.

CASSA berpendapat bahawa YB Rafizi Ramli perlu mendapatkan fakta yang betul sebelum mendakwa konspirasi di kalangan syarikat konsesi air dan Menteri Besar Selangor. Tindakan untuk memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat Selangor perlu dilakukan dengan secepat mungkin. CASSA turut berharap agar YB Rafizi Ramli mengambil tindakan positif untuk membantu rakyat daripada bercakap kosong dan membuat dakwaan terhadap pihak-pihak lain.

Dalam masa yang sama, CASSA mempercayai pengguna-pengguna air di negeri Selangor sudah bosan dan malas mendengar alasan-alasan serta pertelingkahan di kalangan ketua-ketua parti. Pada suatu masa sebelum ini, agenda air telah memenangi hati rakyat dan memberi peluang kepada PKR untuk menguasai pentadbiran negeri Selangor.  Sekiranya proses pengambilalihan air tidak dipercepatkan dan manifesto Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat tidak ditunaikan, sudah pasti rakyat tidak mempercayai PKR lagi.

Sehubungan itu, kami ingin menyeru supaya isu air tidak dicampurkan dengan masalah parti serta tidak dijadikan sebagai agenda untuk menyusahkan rakyat Selangor lagi.

Datuk Dr. Jacob George
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA)

 



Comments
Loading...