Berpecahkah Pakatan selepas 10 Ogos?


selangor_pakatan

Amin Iskandar, The Malaysian Insider

Peminat politik negara ternanti-nanti apa yang akan diputuskan dalam mesyuarat PAS pada 10 Ogos ini kerana ianya akan mendefinasikan hala tuju politik negara.

Apakah PAS akan menyokong keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor?

Atau PAS bersetuju jawatan menteri besar Selangor merupakan hak PKR dan akur Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menggantikan Khalid?

Jika PAS mengambil pendirian untuk menyokong keputusan presiden mereka, ini bermakna parti Islam itu sudah bersedia untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR), kerana PKR yang mendapat sokongan kuat DAP tidak akan berganjak dengan keputusan untuk menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah.

Seperti yang dikatakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, tindakan salah satu parti komponen yang menidakkan persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat PR boleh menyebabkan kredibiliti dan survival gabungan itu tergugat.

Dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri, ketua menteri Pulau Pinang itu berkata isu terbesar selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah apakah sistem dua parti di Malaysia akan terus kekal ekoran kemungkinan PR berpecah disebabkan kegagalan atau keengganan salah satu parti komponen untuk menghormati dan memegang janji kepada keputusan yang dicapai secara bersama.

Kenyataan Lim itu membayangkan DAP setia bersama PKR dalam isu untuk menyingkirkan Khalid sebagai menteri besar dan tidak senang dengan tindakan Hadi yang mengambil pendirian berbeza.

“Keputusan terakhir mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR sudah menetapkan Dr Wan Azizah sebagai calon PKR untuk menggantikan Khalid, dan tiada keputusan lain selepas itu,” kata seorang pemimpin tertinggi parti itu kepada penulis.

PKR dilihat komited dengan “Langkah Kajang” sejak beberapa bulan lalu dan Dr Wan Azizah tidak diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semata-mata untuk menjadikannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Dalam erti kata lain, sekiranya PAS berkeras mahu Khalid dikekalkan, mereka boleh meninggalkan gabungan yang ditubuhkan bersama-sama PKR dan DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Sebaliknya, sekiranya pada 10 Ogos ini PAS membuat keputusan untuk menghormati keputusan PKR untuk menyingkirkan Khalid dengan Dr Wan Azizah sebagai pengganti, PR akan berjaya diselamatkan.

Namun keputusan itu akan memberikan implikasi besar terhadap Hadi kerana ianya akan dilihat secara tidak langsung sebagai “undi tidak percaya” kepimpinan PAS terhadap presiden mereka.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...