Silap PKR umum pengganti Khalid sebelum masanya, kata anak bekas TPM


Tamrin Ghaffar

Hasbullah Awang Chik, The Malaysian Insider

Usaha PKR untuk memastikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor sedikit sebanyak merosakkan reputasi PAS dan Pakatan Rakyat (PR), kata Tamrin Ghafar.

Beliau yang juga anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Ghafar Baba melihat kesilapan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mengumumkan pengganti Khalid sebelum tiba pada masanya.

“MB Selangor daripada PKR, bukan daripada PAS, tetapi yang mulai retak ialah PAS dan Pakatan. Aneh dan ajaib.

“Apabila Anwar membuat kenyataan bakal pengganti Khalid, itu dia bercakap bagi pihak partinya PKR, bukan bagi pihak Pakatan.

“Mungkin pada PAS, kelemahan Anwar ialah mengumumkan nama pengganti MB sebelum 10 Ogos. Mungkin juga kelemahan kita ialah membuat kenyataan umum sebelum tarikh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKR pada mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusatnya pada 22 Julai lalu mencapai keputusan untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid bagi jawatan menteri besar Selangor.

Anwar berkata Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR mampu memberi kestabilan kepada PR di Selangor selain bertujuan menyelesaikan isu di negeri itu yang semakin meruncing.

Bagaimanapun, Tamrin tidak meletakkan kesalahan 100% kepada PKR, dengan melihat PAS juga tidak terlepas dari melakukan kesalahan.

Tanpa menyebut kelemahan PAS secara spesifik, beliau merujuk tingkah laku PAS yang dikatakan memungkiri janji pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Mungkin kalau itu dikatakan kelemahan, PAS juga ada kelemahannya. Cuba kita renung kembali apa yang berlaku semasa PRU13 yang lepas.

“Memungkir janji persetujuan yang dicapai itu bagi saya kelemahan yang susah hendak dilupakan. Selepas (kewafatan) Rasulullah, tidak ada siapa pun yang maksum,” katanya.

READ MORE HERE



Comments
Loading...