Kerajaan Pakatan Selangor jatuh selepas PKR pecat Khalid, kata Aziz Bari


Dr Abdul Aziz Bari

Md Izwan, The Malaysian Insider

Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai berakhirnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor, melainkan menteri besar baru dipilih dan dipersetujui Sultan.

Menurut bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, langkah PKR memecat Khalid menyebabkan kuasa menteri besar dan exco juga hilang, sekaligus menyebabkan tiada kerajaan di Selangor.

“Selangor sekarang tidak ada kerajaan, kerajaan negeri dijatuhkan oleh PKR, kerana apabila Khalid jatuh, seluruh exco juga jatuh.

“Jadi maknanya, Sultan yang sepatutnya memiliki kerajaan yang stabil, tetapi keadaan itu tidak berlaku sekarang kerana Khalid sudah dipecat,” kata Aziz kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Aziz berkata Khalid kini bukan lagi menteri besar Selangor dan PR perlu memutuskan nama pengganti.

“Bila dipecat, beliau bukan lagi menteri besar,” katanya.

Mengenai hujah mengatakan Khalid masih sah sebagai menteri besar, Aziz berkata situasi Khalid ketika ini adalah berstatus menteri besar bebas yang tidak mewakili mana-mana parti dan bukan lagi daripada PR.

“Apabila sudah pecat maknanya negeri Selangor dikendalikan oleh seorang menteri besar bebas, ini tidak boleh.

“Maknanya kena cari dan pilih seorang menteri besar baru serta beritahu kepada Sultan bahawa ini adalah calon kita,” katanya.

Aziz menjelaskan peranan Sultan ketika ini sangat penting dan bertindak sebagai pengadil serta mempunyai hak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana kerajaan negeri  tidak stabil lagi.

“Yang penting ketika ini Sultan, baginda adalah pengadil.

“Sekarang kamu tidak ada lagi menteri besar, maknanya Sultan boleh bubar untuk orang ramai pilih dalam pilihan raya semula,” katanya.

Namun, Aziz berkata pecat sahaja tidak mencukupi dalam usaha menyingkirkan Khalid, tetapi PKR perlu dapatkan sokongan daripada rakan dalam Pakatan, DAP dan PAS.

“PKR perlu yakinkan rakan dalam Pakatan untuk bawa usul tidak percaya kerana pecat sahaja tidak cukup, kerana kamu tidak tahu sama ada PAS atau DAP setuju dengan PKR.

“Ini bermakna, mereka perlu uji sama ada pemecatan itu memberi kesan kepada kedudukan Khalid kerana kita tidak tahu beliau mendapat sokongan majoriti atau tidak,” katanya.

Menurut Aziz, bagi menggantikan Khalid, ia perlu mengikut proses Perlembagaan, iaitu dengan memberitahu Sultan kemudian membawa usul tidak percaya.

“Mereka perlu yakinkan rakan dalam Pakatan untuk pergi terus ke Sultan dan beritahu keputusan bersama itu secara jelas, mengatakan tidak lagi menyokong Khalid.

“Dan kemudiaan pada Isnin, boleh bawa usul ke Dewan untuk undi tidak percaya,” katanya.

Menurut Aziz bagi pihak Khalid, sekiranya mahu terus menjadi menteri besar, beliau perlu membuktikan masih memiliki sokongan daripada wakil dalam DUN.

“Tetapi jika beliau ada sokongan pun, kerajaan bukan lagi kerajaan Pakatan, ini kerajaan Khalid.

“Secara asasnya, apabila PKR pecat Khalid, PKR sudah menarik semula sokongan kepada Khalid, jadi Khalid sekarang bebas, bukan lagi PKR.

“Apabila menjadi bebas, beliau tidak boleh jadi lagi menteri besar dan perlukan sokongan, jadi Khalid perlu bekerja tidak kisah daripada Umno atau mana-mana parti pun, untuk tunjukkan kepada Sultan bahawa beliau masih mempunyai sokongan,” kata Aziz.

READ MORE HERE



Comments
Loading...