Tindakan Sultan Selangor tepat kekalkan Khalid, kata peguam


KHALIDIBRAHIM_100814_TMIAFIF_007

V Anbalagan, The Malaysian Insider

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak mengikut undang-undang dan Perlembagaan apabila memperkenankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai menteri besar Selangor, kata peguam Perlembagaan.

Sultan membuat keputusan itu semalam selepas Khalid memberi penjelasan beliau masih mengekalkan kepercayaan majoriti daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Pakatan Rakyat (PR) kini menguasai 43 kerusi DUN dengan Barisan Nasional (BN) 12 dan Khalid sebagai Adun Bebas selepas pemecatannya daripada PKR.

“Sultan tidak diberikan apa-apa bukti Khalid kehilangan keyakinan majoriti Adun. Oleh itu, apa yang Sultan lakukan adalah betul,” kata peguam R Kengadharan kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Sultan tidak boleh meminta Khalid meletak jawatan atau memecatnya daripada jawatan itu melainkan yakin menteri besar berkenaan kehilangan sokongan daripada majoriti wakil rakyatnya.

Kengadharan berkata, masih boleh diragui sama ada Khalid mempunyai keyakinan majoriti Adun jika kenyataan pemimpin PAS, DAP dan PKR baru-baru ini digunakan sebagai kayu pengukur.

“Setiausaha Agung PAS (Datuk Mustafa Ali) berkata parti itu akan kekal dalam Pakatan selepas Khalid dipecat sebagai ahli daripada PKR,” katanya.

Peguam Nizam Bashir berkata kerajaan negeri akan terus berfungsi jika benar empat exco PAS bersama Khalid.

Bagaimanapun, katanya, daripada sudut undang-undang, tidak banyak perkara yang akan berlaku memandangkan Sultan akan berada di luar negara dari Rabu hingga 23 Ogos.

“Tempoh ini hanya akan memberikan pihak-pihak dan pemimpin politik masa untuk menilai kedudukan mereka,” katanya.

Peguam Andrew Khoo berkata, PR perlu mempunyai rasa terdesak untuk menunjukkan Khalid tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti dalam DUN Selangor.

Pakatan Rakyat perlu menunjukkan menteri besar Selangor sedia ada tidak mendapat keyakinan majoriti dalam DUN, kata peguam Andrew Khoo.”Pilihan lebih baik adalah melakukan undi tidak percaya,” katanya dan menambah ia mungkin menjadi masalah kerana persidangan  DUN Selangor seterusnya adalah pada Oktober atau November.

Peguam Syahredzan Johan berkata, perkembangan semalam menunjukkan tidak akan ada perubahan dalam kepimpinan dalam jangka masa terdekat.

“PKR dan DAP perlu terlebih dulu menentukan sama ada PAS akan bertindak sebaliknya atau ketiga-tiga parti bersatu menurunkan Khalid,” katanya.

Beliau berkata, PAS perlu mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat yang dijadualkan pada 17 Ogos untuk memberi keyakinan kepada rakyat Selangor gabungan itu tetap utuh.

Syahredzan berkata, ia memberi gambaran buruk kepada PAS dan exconya kerana menyokong Khalid yang dipecat daripada parti dalam gabungan PR.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tindakan-sultan-selangor-tepat-kekalkan-khalid-kata-peguam

 

 



Comments
Loading...