Jika PR berpecah, jangan dikambing-hitamkan PAS sahaja, semua mesti bertanggungjawab
Aspan Alias
Tiga tahun lagi pilihanraya umum akan diadakan dan apa yang berlaku semasa itu nanti tidak dapat kita telah. Politik negara begitu ‘fluid’ dan apa sahaja boleh berlaku, dan ia bergantung kepada permainan politik kedua-dua belah pihak BN dan Pakatan Rakyat. Kita lupakan sahaja apa yang baik yang akan dilakukan oleh kedua-dua belah pihak kerana mereka tidak memberikan tumpuan kepada negara selain dari bermain politik untuk kepentingan peribadi individu-individu dalam parti-parti tersebut.
Politik sekarang ialah politik untuk pergaduhan dan bukan untuk menyatukan rakyat. Rakyat dijadikan sebagai alat mereka membuat tuntutan sahaja. Lagi berkocak rakyat lagi untung setengah pihak. Apa pun yang terjadi ia pihak kerajaan tidak akan berhadapan tekanan seperti yang mereka hadapi semasa PRU ke13 lalu.
Apa yang berlaku di Selangor kini, akan memberikan impak yang begitu negatif terhadap Pakatan Rakyat. ‘Lenggang tidak sehayun lagi, langkah sudah tidak seirama lagi’ dan bermacam-macam lagi yang tidak kena samada dalam masalah ‘intra-party’ yang dialami oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat, tetapi mereka juga berhadapan dengan masalah ‘inter-party’ dalam gabungan itu.
Dalam PRU yang lalu ‘life force’ yang ada dalam diri masing-masing dalam Pakatan Rakyat begitu tinggi dan seolah-olah BN akan terkubur selepas sahaja dalam pilihanraya itu. Pemimpin-pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat sudah ada yang mendabik dada dan memberi amaran kepada banyak agensi kerajaan yang mereka akan diambil tindakan setelah Pakatan Rakyat berada di Putrajaya.
Semasa itu saya bersama-sama mendukung perjuangan mereka dan saya telah gambarkan yang selepas PRU itu ramai pemimpin BN akan masuk ke Sungai Buluh kerana sudah ada kecenderungan masing-masing mahu membesarkan keluasan penjara Sungai Buluh semasa itu untuk menempatkan ramai pimpinan BN di sana.
Semasa mereka menyebut tentang penjara Sungai Buluh terasa juga didalam diri saya yang Pakatan Rakyat tidak akan berjaya kerana kerakusan untuk berdendam semasa itu amat tinggi. Saya tahu yang sikap itu akan digagalkan oleh ‘nature’ kerana itu bukan matlamat perjuangan seperti yang tertulis dalam manifesto Pakatan Rakyat yang sentiasa ada dalam saku saya.
Imbasan yang datang kepada saya memberikan keyakinan yang matlamat PR akan terbengkalai kerana sikap terlalu ghairah untuk berdendam itu akan menyekat kemaraan PKR untuk ke Putrajaya. Keputusannya telah kita saksikan dan apa yang terasa didalam hati saya dan beberapa orang yang berbincang secara ‘private’ itu benar-benar berlaku. Bagi saya keputusan itu tidak mengejutkan walaupun ada pemimpin DAP yang begitu yakin yang Pakatan Rakyat akan memenangi 125 kerusi di dalam Dewan Legislatif Persekutuan.
Apa pun semasa dalam masa berkempen Pakatan Rakyat telah menunjukkan kemampuan untuk membina aura penentangan yang besar terhadap BN tetapi keputusannya tetap kalah. Berbagai-bagai tuduhan terhadap pihak pemerintah seperti SPR dan sebagainya, malahan ada tuduhan yang mengatakan seramai 40,000 pengundi dari Bangladesh telah mengundi secara haram semasa PRU itu dan berbagai-bagai lagi. Tetapi mereka yang sudah masak dengan politik negara ini isu itu hanyalah isu untuk mengalihkan perasaan kekalahan dan kelemahan mereka kepada pihak lain.
Tetapi bagaimana pula kemungkinan yang akan berlaku dalam PRU yang akan datang? Bagi setengah pihak keadaannya adalah ‘predictable’. Adayang yakin yang PR akan berjaya menumpaskan BN dan ada yang mengatakan yang BN akan lebih kuat dari sekarang. Semuanya berhak umtuk membuat telahan dan andaian masing-masing.