Gabungan parti pemerintah baharu mungkin dibentuk lepas PRU


nur-jazlan

Nur Jazlan Mohamed

Sesungguhnya, apa yang berlaku di Selangor ketika ini, membuka lembaran baharu dalam sejarah politik negara selepas rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) di Perak pada 2009 dan kini kemelut menteri besar Selangor, semakin ramai rakyat yang sangsi terhadap proses Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan di negara ini.

Dan dalam usaha mempertahan Putrajaya pada PRU14 nanti, krisis kepimpinan menteri besar Selangor seharusnya, menjadi petunjuk penting kepada pakar strategi Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memastikan BN khususnya, Umno dapat terus memerintah sekali gus mengelak daripada dirampas Pakatan Rakyat (PR).

Umno terutama sekali pucuk pimpinannya perlu sedar kejayaan PR menangani krisis MB Selangor dan ‘membuang’ Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi nombor satu negeri paling maju di negara ini, membuatkan parti gabungan pembangkang PAS, DAP dan PKR lebih kuat dan teguh.

Tambahan pula, kegagalan Umno Selangor untuk merebut peluang terhidang bagi melancar strategi merebut semula negeri itu, membuatkan majoriti rakyat sedar yang parti ini, seakan bersedia melupakan hasrat merampas semula Selangor.

Bagi mereka, bagaimana hendak merampas Selangor tatkala apabila berlaku krisis MB PR Selangor, 12 Adun Selangor diarahkan untuk menyokong Khalid semata-mata atas alasan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Adakah alasan itu, yang hendak didengari ahli dan pemimpin Umno Selangor di peringkat akar umbi yang terpaksa mengikut arahan Putrajaya sekali gus dengan jelas memperlihatkan tiada strategi baharu dirancang bagi menawan semula Selangor. Bayangkan, Umno Selangor tidak berupaya menyusun strategi meracuni pengundi negeri itu, untuk berpaling tadah daripada PR, dengan melakukan rampasan kuasa secara bermaruah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dengan persepsi yang ditimbulkan PR, pemecatan Khalid adalah disebabkan hubungannya dengan Putrajaya, ia sebenarnya, adalah peluang terbaik untuk Umno Selangor melakukan persediaan ke arah PRN sejak bermulanya ‘Langkah Kajang’ pada Januari lalu.

Namun, ketidaksepakatan parti dalam PR jelas dapat dilihat dalam isu MB Selangor ini, apabila ia dibayangi kedegilan PAS terutama sekali Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat melambat-lambatkan keputusan menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB PR, sehingga memperlihatkan haluan dan arah tuju parti serpihan Umno ini, semakin kabur.

Keputusan PAS yang jelas bercelaru dalam memberikan sokongan kepada Dr Wan Azizah sudah pasti akan memberikan kesan kepada parti itu, dalam PRU14 terutama sekali bagi terus memastikan pengundi Melayu menyokong mereka.

Walaupun PAS menang bergaya di Selangor dalam PRU13 dengan 15 kerusi tetapi ia gagal mencapai kecemerlangan di peringkat Pusat berbanding DAP dan PKR hingga menyaksikan ramai pemimpin kanannya, termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub kecundang bertanding di kerusi Parlimen.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...