Ini semua salah Mahathir


http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2013/02/mahathir1-300x208.jpg

Ketika era kekejaman pemerintahannya tiada kedengaran kes-kes yang mengheret rakyat ke jalanan atas apa jua justifikasi baik penukaran kerajaan.

Warganegara Malaysia

Saya dilahirkan sekitar tahun 1980an ketika penabalan Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai yang Di Pertuan Agong.Ketika itu datuk perdana menterinya adalah Dr Mahathir.

Ketika era kekejaman pemerintahannya tiada kedengaran kes-kes yang mengheret rakyat ke jalanan atas apa jua justifikasi baik penukaran kerajaan Melayu tunggangan Cina hingga memaksa lebai Melayu baring menghalang kenderaan Sultan atau kapal terbang nasional mengangkut puluhan ribuan rakyat asing untuk mengundi dan mengekalkan kekejaman kerajaan sedia ada. Mungkin ada kes-kes terpencil seperti ketua polis menumbuk mata bekas menteri kerana bekas menteri difitnah atas tuduhan-tuduhan kelakuan luar tabii.

Sudah pasti saya sangat mengenali Dr Mahathir dari kecil kerana semenjak kecil tidak pernah ada ketidak stabilan politik yang melanda Malaysia. Kecuali sekitar tahun ’99 ketika pelajar-pelajar tua datang ke asrama besar juga di negeri Sultan Azlan Shah untuk mengedar risalah dan mengecam Dr Mahathir kerana salah lakunya terhadap bekas timbalannya yang secara kebetulan pernah menuntut dan tinggal di asrama besar tersebut.

Salah laku tersebut amat besar kerana kesan dominonya mengakibatkan perpecahan terhadap penduduk Malaysia. Rakyat Malaysia tidak pernah kenal erti perkataan-perkataan reformasi, denyut nadi rakyat, nepotisme, kronisme dan pelbagai lagi. Mereka mungkin kenal tetapi penggunaannya terbatas. Juga rakyat kurang arif tentang penggunaan perkataan sodomi, liwat dan sebagainya. Tetapi pasca ’98 perkataan-perkataan ini menjadi buah mulut. Malahan sukan tenis turut diminati kerana pengakuan rakan tenis bekas timbalannya yang gemarkan sensasi.

Jika Dr Mahathir tidak melakukan salah laku memecat timbalannya apa mungkin sistem monarki Malaysia menerima tentangan yang hebat dari bangsa-bangsa lain yang datang untuk mencari makan di Tanah Melayu lalu berasaskan prinsip-prinsip jus yang pelbagai dianugerahkan kerakyatan tanpa mengambil kira ketaatan mereka kepada raja. Itu tidak lagi melihat kepada tindakannya yang akur kepada desakan-desakan bangsa-bangsa ini untuk menggunakan bahasa kebangsaan negara asal mereka. Jikalau Dr Mahathir tidak bersetuju dengan desakan mereka sudah pasti rakyat asal tanah ini dapat memahami apakah ketidakpuashatian mereka terhadap negara ini negara yg memberikan kerakyatan dan  kebebasan untuk menggunakan bahasa ibunda mereka.

Mungkin cengkaman pemerintah di negara asal membentuk sifat diri mereka agar menjadi penakut dan berselindung di sebalik karektor-karektor tulisan bahasa ibunda negara asal mereka.

Saya hanya tertanya-tanya kenapa Dr Mahathir membuat kesalahan tersebut memecat timbalannya membenarkan penggunaan bahasa selain kebangsaan berleluasa dan berhenti menjadi Perdana Menteri. Saya hanya dambakan keamanan.

Andai perlu saya akan syorkan untuk diwujudkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat salah laku Dr Mahathir ini sebagaimana ditubuhkan suruhanjaya di raja untuk menyiasat hanya kematian pembantu politik tanpa menyambung siasatan pertuduhan salah urus dana majikannya.

Rahmat
Warganegara Malaysia



Comments
Loading...