Azmin calon yang bertepatan
Aspan Alias
Tuanku Sultan Selangor telah bertindak menolak dua permohonan dari dua pemimpin hari ini. Pertamanya, Baginda telah menolak perletakan jawatan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan menitahkan Abdul Khalid terus memegang jawatan Menteri Besar itu sehingga nama yang sesuai untuk menggantikan beliau ditemui dan dipersembahkan untuk perkenan Baginda. Baginda telah meminta lebih dari dua nama dari Pakatan Rakyat setelah menolak Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru.
Tuanku juga telah menolak Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar gantian dan itu telah ditelah oleh banyak pihak kerana ketidak sesuaian Presiden PKR itu menjadi Menteri Besar Selangor yang baru. PKR sememangnya dalam keadaan yang amat rumit kerana ‘Kajang Move’ tidak menghasilkan apa-apa selain daripada perpecahan PKR dan Pakatan Rakyat.
‘Kajang move’ dahulu telah dilakukan oleh PKR tanpa merujuk kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat dan tindakan sendirian PKR itu menghasilkan apa yang terhasil yang kita saksikan hari ini.
Apa pun PAS tetap bersetuju bahawa kerusi Menteri Besar itu wajar disandang oleh PKR, tetapi mengemukakan Wan Azizah sebagai calon gantian kepada Khalid untuk memuktamadkan ‘Kajang Move’ itu tidak kesampaian. Saya telah dihubungi oleh ramai rakan dan kesemuanya tidak merasakan kehilangan tanpa Wan Azizah, malahan ramai antara mereka sedang mendoakan agar ADUN Bukit Antarabangsa itu menjawat jawatan penting tersebut.
Azmin sememangnya pemimpin PKR yang menghidupkan parti itu dari awal dan tidak ada sebab nama beliau tidak dicalonkan untuk jawatan itu. Justeru tindakan PAS mencalonkan Azmin dari awal itu merupakan tindakan yang agak secocok dengan cita rasa ramai rakyat Selangor. Sebagai Pengerusi PKR Selangor adalah tidak adil jika beliau tidak mengetuai kerajaan Selangor jika benar-benar Khalid tidak lagi menjawat jawatan itu.
Sikap Anwar mengambil segala-galanya ‘for granted’ terbukti satu ‘misadventure’ politik yang paling besar sekali dan sikap ‘domineering’ beliau itu secara beransur-ansur akan membuatkan sokongan ramai terhadap Anwar akan merudum bukan sahaja dari kalangan pimpinan Pakatan Rakyat, malahan dari ahli-ahli partinya sedang berpecah itu.
Orang yang sepatutnya belajar untuk berlapang dada ialah Anwar Ibrahim dan beliau wajar mengakui hakikat yang tidak semua kehendak kita akan terkabul. Dalam isu ini PAS walaupun menjadi sasaran parti-parti yang menganggotai Pakatan Rakyat itu beberapa ketika, telah melakukan tindakan yang betul dan ini tentulah tidak digemari oleh PKR.