Elemen ‘greed, anger and foolishness’ menguasai DAP dan PKR
Aspan Alias
PKR dan DAP telah memutuskan untuk tidak mematuhi titah Tuanku Sultan Selangor yang meminta semua parti dalam Pakatan Rakyat menamakan lebih dari dua orang calon Menteri Besar untuk menggantikan Khalid Ibrahim. ‘In defiance’ terhadap titah Tuanku Sultan kedua-dua parti itu tegas dengan hanya menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang dari awal lagi telah ditolak oleh Tuanku.
Mereka memberikan alasan yang semasa pilihanraya 2008 dan 2013 yang lalu Pakatan Rakyat telah menamakan hanya seorang nama sahaja, iaitu Khalid Ibrahim dan tidak mendapat tentangan dari Tuanku. Maka kepada kedua-dua parti itu, ‘precedent’ ini wajar diikuti sekarang dengan menerima calon tunggal mereka iaitu Wan Azizah Ismail.
Bagaimana pemilihan seperti 2008 dan 2013 boleh terpakai sekarang kerana keadaan dan situasi sekarang adalah situasi yang sangat berbeza berbanding dengan situasi selepas dua pilihanraya yang lalu. Dalam kedua-dua pilihanraya yang lalu, keadaan semasa pemilihan Menteri Besar itu adalah dalam keadaan yang bersatu samada diantara pemimpin PKR dan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan tidak ada pergelutan dan perebutan untuk jawatan itu.
Dalam kes sekarang ini seorang Menteri Besar yang telah diterima dengan tenang dan bersatu dan diperkenan Tuanku Sultan selepas pilihanraya yang lalu telah diperlakukan tindakan penggulingan terhadap Menteri Besar itu. Justeru telah berlaku krisis dalam PKR dalam isu ini dan akhirnya memecat Menteri Besar nya dari keanggotaan partinya. Selain dari itu sudah berlaku perselisihan jelas diantara parti-parti dalam PR itu khususnya PAS yang tidak sealiran dalam pemilihan gantian kepada Menteri Besar Khalid.
Takkanlah ini pun tidak difahami oleh mereka yang mengaku sebagai pemimpin dari kedua-dua parti itu. Sekarang hanya ada satu pilihan bagi parti-parti dalam PR untuk melakukannya, iaitu untuk menambah bilangan calon untuk jawatan penting itu kepada kebawah Duli Tuanku Selangor agar dapat mencari gantian kepada Khalid sekarang yang menjadi ‘care taker’ Menteri Besar.
Jika kedua-dua parti ini masih berkeras tidak mahu memenuhi titah Sultan maka betullah tuduhan setengah pihak yang kedua-dua parti ini mempunyai pemimpin yang tidak beradap dan beradat dan akan menjadi racun kepada institusi-institusi demokrasi negara.
Keadaan semasa memilih Menteri Besr dahulu adalah berbeza maka cara memilih juga tidak boleh mengikut ‘precedent’ yang lama itu. Keengkaran kedua-dua parti itu adalah tindakan ‘self destruction’ kerana menunjukkan marah dan tidak menghormati Tuanku Sultan itu melambangkan betapa bongkak dan sombongnya parti-parti itu. Tindakan mereka itu boleh ditafsirkan sebagai tindakan memberontak dan ia samalah seperti menzalimi diri mereka sendiri.
PKR dari dulu lagi telah menunjukan sikap ‘arrogant’ yang keterlaluan dan semua orang termasuk Raja pun hendak dibentaknya. Bagi mereka semua pihak mesti mengikut telunjuk mereka yang bengkok itu. Anwar dalam usaha gigihnya untuk menaiki tangga politik telah banyak kali menunjukkan sikap seperti ini dan beliau tidak mahu tunduk kepada kenyataan yang negara ini bukannya untuk beliau seorang. Dalam ‘planet’ ini berbillion manusia lain yang tinggal dan hidup di dalamnya bukannya beliau seorang.
Kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain dari memanggil pilihanraya baru kerana pertembungan diantara dua proponen penting dalam memilih seorang Menteri Besar seperti yang ditetapkan oleh undang-undang tubuh negeri Selangor itu.
Mengambil alih jawatan Menteri Besar bukan kerja yang kecil padahnya jika ia dilakukan secara ‘hostile’ seperti sekarang ini. Dalam situasi sekarang Khalid tidak lagi menjadi subjek perbahasan dan pertelingkahan kerana beliau telah pun memohon untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar. Sekarang beliau hanyalah ‘care taker’ kepada kerajaan negeri Selangor.
Pilihanraya sahaja yang membolehkan situasi ini diselesaikan. Pilihanraya ini penting kerana kita hendak bertanya kepada rakyat Selangor samada mereka (PKR dan DAP) telah melakukan perkara yang betul dan diterima oleh rakyat Selangor.
Dalam kempen pilihanraya yang lalu PKR dan DAP tidak pernah berjanji untuk menolak Menteri Besar pilihan mereka sendiri dan tidak pernah berjanji untuk tidak menderhaka kepada Tuanku Sultan. Parti-parti ini juga tidak pernah berjanji akan menyingkirkan Khalid Ibrahim untuk digantikan dengan Wan Azizah setelah memecat ahlinya sendiri yang bernama Khalid Ibrahim itu.
Tentu ada jalan untuk memanggil pilihanraya negeri. Bagi saya pandangan orang ramai itu adalah penting samada tindakan pucuk pimpinan PKR yang disokong oleh DAP itu diterima oleh rakyat.