Membuang Khalid susah, mencari gantipun susah


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_subkylatif_zps1fbe0edc

Subky Latif, Harakah Daily

Berbulan-bulan PKR hendak membuang TS Khalid Ibrahim daripada Menteri Besar Selangor, amatlah susah dan kini sesudah dia bersedia berundur, mencari gantinya juga susah.

Dia hendak berhentipun susah kerana Istana mahu parti-parti dalam Pakatan Rakyat memberi lebih daripada dua calon bagi baginda pilih. Raja memberi tarikh akhir nama itu diserahkan.

PKR bertegas dengan satu nama iaitu Dr. Wan Azizah. Ia disokong DAP. Setakat ini jalan keluar ada ialah dengan PAS yang bercadang memberi tiga nama, tidak termasuk ADUN PAS, kesemuanya dari PKR.

Sultan akan berpeluang memilih, tetapi apakah PKR akan berpuas hati kiranya perkenan Istana nanti bukan daripada nama yang dicalonkannya?

Jika calon yang Sultan perkenan nanti bukan daripada yang PKR/DAP kemukakan, tetapi daripada yang PAS kemukakan, kiranya kedua parti itu terpaksa terima, maka bertuahlah ADUN PKR yang PAS namakan sekalipun tanpa persetujuan mereka.

Jika Sultan pilih itu nanti tidak diterima, Khalid akan jadi Menteri Besar lagi dan akan melambatkan lagi usaha menangani isu air dan Lebuhraya Kidex yang Khalid setujui dengan kerajaan pusat dan lambat jugalah isu rampasan Bible hendak diselesaikan.

PAS memang sudah menyusahkan PKR hendak buat apa yang disukainya. Semua menuding jari pada PAS, tetapi tidak pula orang mahu tengok apa lain buat tidak menyenangkan PAS? Tetapi dengan langkah terbaru PAS memberi nama lebih itu, boleh membantu menyelesaikan ganti Khalid itu.

Jika mahu ia selesai mudah, jangan disoal mengapa Istana mahu lebih nama dikemukakan. Banyak rumitnya bagi parti yang memerintah Selangor jika banyak mentakwil Istana. PAS ada pengalaman calon Menteri Besar Kelantannya diketepikan Istana lebih 20 tahun lalu. Sultan memilih orang lain. Sekalipun PAS tidak puas hati tetapi ia tidak berbalah dengan Istana.

Malaysia banyak pengalaman tentang Menteri Besar yang digemar Raja dipaksa Umno supaya terima. Tiada harmoni antara Istana dengan kerajaan dan tiada keselesaan dalam petadbiran. Sultan Perak tidak gemar Tan Sri Ghazali Jawi, Tun Razak paksa baginda terima. Akhirnya Ghazali Jawi jadi mangsa. Berhenti sebelum tempoh tamat.

Sultan Pahang tidak seronok dengan Rahim Bakar. Raja terpaksa terima. Rahim jadi mangsa politik. Apabila Johor dapat Sultan baru yang tidak sukakan Menteri Besarnya Tan Sri Othman Saad, tiada pilihan melainkan Tan Sri Othman berhenti.

Apa yang berlaku antara Istana dan Menteri Besar sesudah Menteri Besar jadi Menteri Besar adalah perkara malang seperti Almarhum Sultan Terengganu, Ismail Nasarudin Shah tidak ngam dengan MB Dato Nik Hassan Abdul Rahman dan Sultan Mizan tidak suka lagi pada Idris Jusoh. Mereka tiada masalah semasa dilantik, tetapi ada masalah selepas dilantik.

Maka jangan kita mudah apabila bermasalah dengan Istana sebelum dilantik. Jangan cari penyakit apabila Istana memberi pandangan dalam perlantikan Menteri Besar baru. Kita wajar belajar daripada yang berlaku di Perak, Pahang dan lain-lain sebelum kita bermasalah dengan Istana.

Menteri Besar baru ada sekitar empat tahun. Jangan masa itu penuh dengan kecelaruan! Bukan saja pentadbiran bermasalah, tetapi Pakatan akan terus dibaca oleh masyarakat sedang hujung tempoh itu kita berdepan denga PRU14.

Masalah sesama Pakatan boleh dibaiki jika langkah PAS yang kurang disenangi nanti membuka jalan baru bagi penyelesaian. Jangan ditanya soal Menteri Besar itu wanita atau pondan. Jika ditanya hanya akan menyulit lagi keadaan. Masalah sekarang ialah bagaimana ganti Khalid boleh diselesaikan segara?

 



Comments
Loading...