Timbalan Mursyidul Am PAS sokong Hadi, Wan Azizah tak layak jadi MB


Harun Din

Dalam Islam bukanlah gender itu yang menjadi halangan, tetapi kemampuan seseorang mentadbir itu dinilai dalam memikul amanah.

Mohamad Fadli, Free Malaysia Today

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din menyokong dengan keputusan yang telah ditentukan oleh Majlis Syura dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Presiden partinya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai ketidakbolehan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Menurut Harun Din, keputusan Majlis Syura sebelum ini selari dengan kenyataan Hadi dalam menilai calon yang sesuai untuk mentadbir negeri Selangor.

“Kalau dia (Wan Azizah) cukup kelayakan, maka tentulah Majlis Syura daripada awal menyokongnya dengan tidak ada sebarang masalah.

“Kita memang hendak orang yang lebih mampu dan lebih baik,” tegasnya ketika bercakap dengan pemberita selepas selesai majlis forum perdana di perkarangan Dataran Surau An Nur, semalam.

Tambah beliau, dalam Islam bukanlah gender itu yang menjadi halangan, tetapi kemampuan seseorang mentadbir itu dinilai dalam memikul amanah.

“Islam melihat dari sudut amanah. Apabila menyebut tentang amanah, orang yang fizikalnya, pengalamannya, sejarah dan latar belakangnya mestilah lebih mampu.

“Jika itulah yang kita lihat, maka mungkin apa yang telah diputuskan oleh Majlis Syura dan dipikul sebahagian besar daripada pimpinan parti itu melihatkan ada orang yang lebih baik daripada apa yang kita lihatkan daripada Wan Azizah,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau menyarankan supaya perkara ini diserahkan kepada Sultan Selangor.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...