Wanita PKR minta Hadi keluar Pakatan
(Kuala Lumpur Post) – Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) yang mengatakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor disifatkan sebagai kenyataan cauvinis.
Ketua Penerangan Wanita PKR, Azura Aziz dalam kenyataannya mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi dan menegaskan pengalaman, kredibiliti dan kelayakannya sudah cukup melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor.
“Siapa dia untuk mengatakan bahawa Dr Wan Azizah tidak mampu?” soalnya.
Katanya, tindakan Abdul Hadi juga disifatkan mengkhianati kepercayaan sekutu Pakatan Rakyat (PR) setelah membelakangi persetujuan sebelum ini. Malah katanya, pendirian PAS yang tidak tetap juga tidak boleh diterima oleh PR.
“Dia cuba meletakkan pencalonannya daripada tiga nama daripada PAS dan bukannya apa yang telah dipersetujui semasa mesyuarat Pakatan Rakyat.
“Jika dia tidak berpuas hati dengan gabungan PR, dia harus meninggalkan parti,” katanya.
Jelasnya lagi, integriti Abdul Hadi selaku Presiden parti Islam juga dipersoalkan kerana kejutan pusingan-U yang dibuat Abdul Hadi pada saat akhir.
“Hadi menipu kita semua, termasuk ahli-ahli partinya sendiri dan ini adalah benar-benar mengecewakan,” ujarnya, lapor TRP.