Isu rasuah susah hendak jatuhkan pemimpin, isu seks boleh


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_AspanAlias_zpsad6a015f

Aspan Alias

Dr Mahathir sudah melangkah kehadapan lebih jauh dalam usahanya untuk memberhentikan Najib dari memegang jawatan yang disandangnya sekarang. Jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya buat masa ini merupakan jawatan yang sangat perkasa kuasanya, boleh memasukkan sesiapa dalam penjara dan mengeluarkan seseorang dari penjara. Jawatan Perdana Menteri Malaysia lebih kuat dari Presiden Amerika Syarikat kerana Presiden AS tidak boleh melakukan apa-apa dengan sewenang-wenangnya.

Itulah sebabnya Najib tidak peka dengan undang-undang, etika dan moral dalam mentadbir Negara. Bagi Najib sindiran Dr Mahathir itu tidak membuatkan beliau merasakan apa-apa keperluan untuk menjawabnya. Najib seolah-olah berfikir yang beliau seorang Perdana Menteri dan beliau boleh melakukan apa sahaja yang beliau rasakan hendak lakukan. Berbeza dengan Abdullah Badawi yang juga menjadi sasaran Dr Mahathir dahulu, Najib lebih terbuka kerana mungkin beliau tidak tahu untuk memberikan reaksi bagi mempertahankan diri dari kecaman Dr Mahathir itu.

Abdullah Badawi dahulu mengambil tindakan untuk tidak memberikan ruang kepada Dr Mahathir bercakap dengan senang kepada media massa terbuka ini. Abdullah bertindak terhadap Dr Mahathir seperti Dr Mahathir melakukan tindakan menyekat media dari memberikan liputan untuk Hussein Onn dahulu. Najib pula terbuka untuk dikritik Dr Mahathir melalui media massa tanpa halangan dan Dr Mahathir mudah untuk menyampai mesejnya kepada orang ramai dengan lebih mudah lagi.

Najib tidak membalas kritikan Dr Mahathir di dalam media tetapi beliau mengambil cara bercakap di belakang untuk mengkritik Dr Mahathir kepada sesiapa yang berjumpa dengan beliau. Apa pun tindakan Dr Mahathir untuk membuka pekong kerajaan dengan memberitahu rakyat yang ramai tentang 1MDB itu merupakan pukulan hebat Dr Mahathir terhadap Najib dan ramai yang berpendapat isu 1MDB ini merupakan isu yang akan menghalau Najib dari pejabatnya di Putrajaya itu.

Dr Mahathir telah memberitahu ramai yang 1MDB yang berumur hanya lima tahun itu telah berhutang sebanyak RM38 billion, satu jumlah yang terlalu besar yang akhirnya akan memaksa rakyat dan pembayar cukai membayarnya. Jumlah RM38 billion ini lebih besar dari kerugian semasa Bank Negara melakukan perniagaan pertukaran wang asing pada tahun sembilan puluhanan dahulu yang telah merugikan rakyat hampir RM36 billion.

Selain dari kerugian-kerugian yang disebutkan tadi, kita juga telah membayar kerugian yang dihasilkan oleh tindakan kerajaan pada dekad sembilan puluhan dahulu dalam isu MAMINCO yang merugikan kita sebanyak RM600 juta. Kerugian dalam isu MAMINCO dahulu merupakan kerugian yang di sebabkan percubaan kerajaan kita untuk terlibat perniagaan kerajaan di pasaran timah London dan segala kerugian itu diperolehi dalam masa beberapa minggu sahaja. Saya telah menyebut beberapa lagi kerugian atau komitmen yang diambil oleh rakyat untuk membayar hutang keluarga pemimpin besar kita tetapi saya tidak berselera untuk menyebutnya lagi kerana sudah acapkali blog ini menulisnya.

Isunya sekarang mampukah Dr Mahathir mengenepikan Najib dengan isu 1MDB ini terhadap Najib? Yang pastinya kerugian-kerugian besar yang berlaku semasa Dr Mahathir dahulu tidak mampu mengenepikan Dr Mahathir dari kuasa. Oleh itu barjayakah Mahathir mengenepikan Najib kali ini kerana sumbangan Dr Mahathir diatas kerugian negara semasa beliau mentadbir Negara dahulu  pun lebih kurang sama jumlah kerugian yang berlaku.

Saya berpendapat kalau Dr Mahathir boleh membuktikan yang Najib telah melibatkan kerugian Negara sebanyak dua kali ganda dari apa yang dilibat oleh beliau sendiri dahulu, barulah isu untuk mengenepikan Najib itu akan berjaya.

Isu rasuah, jika diteliti dari pengalaman yang lampau, tidak mampu mengenepikan mana-mana pemimpin kita. Jika isu rasuah itu isu yang ampuh untuk menjatuhkan kepimpinan seseorang itu, sudah lama pemimpin-pemimpin UMNO ini telah dihumbankan oleh rakyat.  Hanya isu seks sahaja yang boleh membawa impak terhadap mana-mana pemimpin untuk diketepikan. Ini hakikat dan jika isu rasuah boleh menyungkurkan kepimpinan negara dan sudah lama negara kita sudah bertukar kerajaan kerana rasuah ini sudah berlaku lama sebelum Najib menjadi Perdana Menteri lagi.

Kita sedang memerhatikan tindakan Dr Mahathir selanjutnya kerana rakyat sedang dalam pencarian. Rakyat sudah tidak dapat lagi mengenali yang mana satu tangan kiri dan yang mana tangan kanan. Rakyat sudah tidak dapat lagi mengenali yang mana satu tangan untuk menyuap makanan dan yang mana satu tangan untuk beristinja’.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...