Pakatan mahu autonomi Sabah
Pusat perlu mendengar apa yang membuatkan penduduk Sabah tidak gembira dan kenapa mereka meluahkan rasa kecewa seperti itu hingga timbul soal untuk berpisah daripada Malaysia.
Percy Goliu, Free Malaysia Today
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah percaya masih ada ruang untuk berbincang dengan kerajaan pusat berkenaan kuasa autonomi di Sabah.
Pengerusi PKR Sabah, Lajim Ukin berkata, mereka tidak memihak kepada mana-mana tindakan pemisahan tetapi mahu kerajaan memberi lebih banyak kuasa autonomi kepada Sabah.
“Kerajaan pusat perlu memberi lebih banyak hak kepada penduduk Sabah yang berasa semakin tidak puas hati dengan layanan kerajaan pusat di mana pembangunan sama rata masih diperlukan dalam pelbagai bidang,” katanya dalam satu kenyataan.
Autonomi, katanya, adalah pendirian PKR dan PAS Sabah.
Melihat kepada perkembangan terbaru itu, Lajim berkata bahawa kerajaan persekutuan perlu melakukan kajian kenapa ‘cakap-cakap’ mengenai pemisahan menjadi begitu hangat pada masa sekarang.
“Sebenarnya, mereka yang berbincang mengenai pemisahan di pelbagai media social seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp hanyalah menyuarakan rasa tidak puas hati,” tegasnya.
Oleh itu menurutnya, kerajaan pusat perlu mendengar apa yang membuatkan penduduk Sabah tidak gembira dan kenapa mereka meluahkan rasa kecewa seperti itu hingga timbul soal untuk berpisah daripada Malaysia.
“Pusat perlu mencari penyelesaian terhadap tuntutan parti-parti politik di negeri ini yang mahukan lebih banyak kuasa autonomi. Ini termasuk mengkaji dengan lebih teliti hak-hak negeri dibawah Perjanjian Malaysia 1963 dan perjanjian dalam Perkara 20,” katanya.