Isu MB Selangor: Haji Hadi mahu Khalid kekal MB


nik-nazm-hadi

(Agenda Daily) – Nampak gayanya makin menarik plot-plot kisah penukaran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul khalid Ibrahim ini.

Ini ambik kira pendedahan terbaru Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai pertemuan beliau dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul hadi Awang pagi Jumaat.

“Dalam perbincangan itu apabila ditanya tentang pandangan Tuan Guru Haji Hadi tentang jalan keluar isu (kemelut MB) ini, beliau memberi jawapan akhirnya adalah dengan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tuan Guru (Haji Hadi) sendiri akan memantau kelemahan Tan Sri Khalid,’ kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan media petang Sabtu.

Menurut Nik Nazmi pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Ketua DAPSY Teo Kok Seong dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat.

Jelas Nik Nazmi, pertemuan tersebut merupakan antara siri pertemuan dengan pimpinan tertinggi pakatan pembangkang yang dipersetujui dalam usaha menyelesaikan masalah berikutan isu Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, kata Timbalan Speaker DUN Selangor itu, beliau agak risau dengan kaedah penyelesaian yang dicadangkan oleh Abdul hadi.

“Pilihan itu tentulah bertentangan dengan sokongan majoriti ADUN Selangor terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi MB Selangor. Meskipun isu perlantikan MB belum selesai, tetapi Tan Sri Khalid kini hanya bertindak sebagai MB peralihan yang telah diterima DYMM Sultan Selangor. Apatah lagi Tan Sri Khalid kini hanyalah ADUN bebas tidak berparti,”ujar beliau.

Tambahnya lagi, perkembangan terbaru tersebut “ditambah dengan beberapa keputusan yang berubah-ubah sebelum ini malah berbeza dengan keputusan PAS sendiri,” jelas beliau mempersoalkan pendirian Haji hadi.

Sebelum ini, Penasihat Undang-undang Negeri Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor pada Khamis memberitahu Khalid masih MB Selangor yang sah.

Menurut peruntukan Undang-UndangTubuh Kerajaan Selangor 1959, selama mana Sultan Selangor masih berkenan untuk melantik Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan pelantikan itu selaras dengan peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, maka Abdul Khalid masih lagi boleh menjalankan kuasa penuh untuk melaksanakan tugas, fungsi dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Sehubungan itu, soal ketidaksahihan apa-apa tindakan atau keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor berkaitan dengan apa-apa perkara termasuk kapasiti untuk menandatangani perjanjian air bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan adalah tidak berbangkit memandangkan tindakan-tindakan ini masih dalam lingkungan bidang kuasa eksekutif Menteri Besar dan mengikut lunas-lunas perundangan negeri.

“Perkara ini sudah sedia maklum oleh Kerajaan Persekutuan dan oleh sebab itu, rundingan serta perbincangan berkaitan perjanjian air masih diteruskan mengikut perancangan.

“Selaras dengan Perkara LI(1), Perkara LIII(2)(a) dan (4), serta Perkara LV(2)(a) Undang-UndangTubuh Kerajaan Selangor 1959, yang mana Sultan Selangor telah diperuntukkan kuasa budi bicara mutlak di dalam pelantikan seorang Menteri Besar Selangor.

“Keputusan Baginda yang menangguhkan penerimaan peletakan jawatan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan Menteri Besar Selangor yang baru ditentukan wajar dijunjung demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berjalan dengan lancar dan teratur.

“Selain diakui mengenai prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak DYMM Sultan Selangor di bawahUndang-Undang TubuhNegeri Selangor 1959 perlu dihormati demi kesejahteraan negeri dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.

 



Comments
Loading...