Paul Low nafi terlibat bantu ‘rakan baik’ dapat projek di Pengerang
(The Malaysian Insider) – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low menafikan tuduhan membantu “rakan baik” mendapatkan projek di Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).
Laman portal Malaysia Today mendakwa Low membantu Tan Sri Dr Ngau Boon Keat dalam pelantikan sebagai ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC), namun menteri menjaga portfolio integriti dan rasuah itu berkata, tidak mengenali individu tersebut.
“Saya menafikan mempunyai sebarang hubungan lampau atau masa kini, peribadi atau dalam perniagaan dengan Tan Sri Dr Ngau Boon Keat.
“Saya tidak pernah berjumpa dengan beliau sehingga hari ini, malah tidak dianggap sebagai ‘rakan baik’ seperti didakwa dalam artikel tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam artikel bertajuk “Idris Jala and Paul Low need to do a lot of explaining“, Low bersama seorang lagi menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Idris Jala didakwa membantu Dr Ngau, yang berminat dalam projek di Pengerang untuk dilantik ke lembaga itu.
Artikel tersebut berkata, tindakan kedua-dua menteri tersebut sebagai mencurigakan dan mendesak penjelasan terhadap tuduhan tersebut.
“Kedua-dua Paul Low dan Idris Jala perlu memberi penjelasan yang banyak mengapa mereka fikir perkara ini bukan satu konflik kepentingan,” tulis artikel dalam Malaysia Today.