Hadi rumitkan lagi krisis MB Selangor, kata peguam PAS


ZULHAZMI_SHARIF

Jamilah Kamarudin, The Malaysian Insider

Pentas kedua forum anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) semakin terbuka dan lantang mengkritik tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor, sekaligus menyebabkan krisis menjadi bertambah rumit.

Ahli panel, bekas Exco Pemuda PAS Zulhazmi Shariff secara berterus terang menuding jari kepada kegagalan Hadi berfungsi sebagai presiden parti sehingga menyebabkan pemimpin PAS kini bertelagah sesama sendiri.

Merujuk kepada peranan presiden dalam Perlembagaan PAS, Zulhazmi yang merupakan seorang peguam berkata Hadi sepatutnya bertindak menjamin perpaduan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, sebaliknya membuat keputusan secara peribadi di luar mesyuarat.

“Ini adalah kegagalan presiden. Kalau beliau seorang ketua yang betul beliau patut jaga AJK PAS Pusat supaya apa-apa jua langkah perlu diambil bagi menjamin perpaduan AJK PAS Pusat, tetapi adakah AJK PAS Pusat bersatu sekarang?

“Bila ini berlaku, presiden perlu panggil AJK buat ‘regroup’, tetapi presiden tidak buat keputusan dalam mesyuarat, ini masalahnya,” katanya dalam forum “Kemelut MB Selangor: Mampukah Pakatan Rakyat (PR) Bertahan?” di Kuala Lumpur malam tadi.

Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) itu berkata, masalah ini boleh selesai jika Hadi menarik balik surat pencalonan yang dihantarnya kepada istana dan tidak memberi pilihan kepada Sultan Selangor selain Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau mendakwa, masalah kelewatan peralihan kuasa menteri besar baru adalah daripada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dan bukannya berpunca daripada Sultan.

Beliau menyalahkan 13 Adun PAS Selangor yang sehingga sekarang tidak menyatakan persetujuan dengan 28 Adun PR lain menyokong Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid.

“Istana jadi begitu sebab PAS. Kalau PAS tidak buat begitu istana tidak akan kacau bilau,” katanya sambil menyindir beberapa petikan ucapan Hadi di Marang 6 September lalu.

Katanya, daripada terus menjadi batu penghalang kepada Dr Wan Aziah, PAS yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan istana perlu memainkan peranan menasihati Sultan Selangor menerima Adun Kajang itu yang sudah mempunyai sokongan majoriti.

“Jika tidak mahu peningkan kepala Tuanku, kenapa PAS tidak ambil pendekatan menghadap Tuanku jelaskan majoriti Dr Wan Azizah? Ini lebih baik.

“Kita hendak ajak perdamaian. Bukan konsep PAS pecah belahkan orang,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...