PAS mahu orang lain tapi terpaksa pilih Dr Wan Azizah, kata Hatta Ramli


Dr Mohd Hatta Ramli

Jamilah Kamarudin, The Malaysian Insider

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli mendedahkan PAS pada mulanya mahukan individu lain menjadi menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tetapi akhirnya terpaksa menerima Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengikut kehendak Pakatan Rakyat (PR).

Selepas diasak hadirin dengan persoalan “Apa PAS mahu?”, Dr Hatta mengakui gagal memberikan jawapan tepat punca parti itu memanjangkan lagi krisis peralihan kuasa menteri besar Selangor.

“Apa yang kita mahu? Saya pun tidak pasti, yang kita mahu ialah orang lain, bukan Dr Wan Azizah, tetapi ironinya pada satu tahap kita cadangkan Dr Wan Azizah.

“Kalau kita cakap orang lain akan tempelak kita… kita sudah bersetuju bersama rakan (PR),” katanya dalam forum ‘Kemelut MB Selangor: Mampukah PR bertahan?’ anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) di Lembah Pantai malam tadi.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu turut mengakui berlaku pertemuan antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor membincangkan calon menteri besar, namun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak tahu isi perbincangan itu kerana tidak ada laporan rasmi dan kita (AJK PAS Pusat) tidak dijemput.

“Mungkin dia (Hadi) dengar pandangan Adun, saya pun tidak tahu apa kesimpulan tersebut,” katanya.

Beliau berkata walaupun dalam PR, kadangkala ada isu yang tidak boleh disepakati seperti hudud, tetapi PAS dalam isu menteri besar Selangor mengambil pendirian tidak wajar dan dirumitkan sehingga tidak ada satu keputusan dibuat.

“Jangan ingat PR semuanya ideal… contohnya siapa perdana menteri daripada PR selepas PRU13, sampai sekarang tidak henbdak diselesaikan kerana kita ‘setuju untuk tidak bersetuju’ tetapi tidak perlu hendak sabotaj,” katanya.

Dr Hatta turut mempersoalkan pendirian pemimpin tertinggi PAS yang mahu 13 Adun PAS Selangor kekal tidak memihak Dr Wan Azizah.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...