‘Abdul Khalid tak pernah hilang integriti’
(Sinar Harian) – Pemuda Pas Selangor hari ini menyatakan bantahan keras ke atas usaha menggulingkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Perwakilannya, Hanafi Zulkapli membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Pemuda Pas pada Muktamar Pemuda kali ke-55, di Dewan Choon Moi, Kota Tinggi, di sini.
Menurutnya, bantahan itu telah disuarakan secara rasmi kepada Ketua Pemuda Pas melalui memorandum khas.
“Kami telah menghantar memorandum khas kepada Ketua Pemuda membawa suara kami yang tidak bersetuju dengan usaha menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya.
Beliau sempat meminta seluruh perwakilan turut menyatakan pandangan masing-masing melalui muktamar itu.
“Siapa yang bersetuju hari ini mengatakan Tan Sri Khalid hilang integriti beliau? Siapa?
“Angkat tangan siapa yang kata Abdul Khalid hilang integriti dia? Ini ruang paling tepat,” katanya.
Namun tidak ada seorang pun perwakilan yang bangkit sebagai tanda setuju Abdul Khalid masih mempunyai integriti sebagai Menteri Besar Selangor.
“Kami Pemuda Pas Selangor cukup hanya melihat tak perlu berhujah. Cukup kami mendengar hujah kalian dalam bicara, wacana, bicara sana, bicara sini.
“Saya rasa muktamar telah menunjukkan bahawa tidak ada dalam kalangan perwakilan hari ini (yang menyatakan bahawa) Tan Sri Khalid hilang integriti, setuju?,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh tindakan dua Adun Pas di Selangor yang melanggar keputusan Pas Pusat.
“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada empat Exco Pas Selangor yang mempertahankan kerajaan negeri supaya tidak dimiliki dan diambil oleh BN. Inilah hero kami.
“Berbeza dengan dua pengkhianat yang bercanggah sama sekali tidak mementingkan keputusan parti. Melanggar keputusan Pas Selangor, YB Saari Sungib dan YB Hasnol Baharuddin,” katanya.
Sementara itu, perwakilan Sri Gading menuntut muktamar esok dapat memutuskan untuk memperketatkan Jawatankuasa Tatatertib supaya lebih digeruni oleh semua ahli termasuk pimpinan.
“Pengkhianatan oleh dua Adun Pas dan percanggahan dengan keputusan Presiden berlaku akibat jawatankuasa itu tidak digeruni.
“Saya desak tindakan serta merta dalam muktamar esok supaya Jawatankuasa Tatatertib harus diperketat,” katanya dalam menyampaikan usul.