Azizah, Azmin atau Iskandar?


selangor

Sekiranya pihak Istana mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, Wan Azizah akan dilantik sebagai Menteri Besar.

Adam Abu Bakar, Free Malaysia Today

Beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa Pilihan Raya Negeri akan berlaku adalah satu mimpi sahaja ekoran jemputan yang telah dikeluarkan oleh pihak Istana.

Sebelum ini, banyak pihak yang meramal bahawa krisis pertukaran Menteri Besar ini tidak akan dapat diselesaikan dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memohon kepada pihak Istana supaya DUN dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri diadakan.

Namun kini, ia hanyalah ramalan palsu belaka.

Sebentar tadi, pihak FMT telah menerima maklumat bahawa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor akan berlangsung pada 23 September (Selasa) ini jam 10 pagi bertempat di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Surat-surat jemputan sudah dihantar kepada Istana bagi menjemput wakil-wakil kerajaan dan orang-orang kenamaan.

Pihak FMT sendiri telah menghubungi wakil Istana, Encik Arfiq Farid sebentar tadi. Beliau mengesahkan perkara tersebut.

Namun demikian, nama Menteri Besar dan dari parti mana, masih belum diketahui dan hingga saat berita ini dikarang ia masih lagi menjadi misteri.

Ekoran itu, beberapa spekulasi telah beredar di laman sosial yang mengatakan bahawa tiga nama calon yang hangat dibincangkan adalah Iskandar Samad (PAS), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), dan Azmin Ali (PKR).

Ini sesuai dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mustafa Ali bahawa tiga nama yang diserahkan kepada Istana terdiri daripada dua calon daripada PKR dan seorang calon daripada PAS.

Calon PKR yang diserahkan oleh Mustafa Ali adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali sedangkan nama calon PAS pula tidak didedahkan. Calon PAS yang menjadi spekulasi kini adalah Iskandar Samad.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...