Musuh Azmin adalah pimpinan PKR sendiri, bukannya UMNO atau PAS
Aspan Alias
PKR nampaknya dalam kepanasan. Kepanasan itu bukan kerana kemungkinan jawatan Menteri Besar itu akan jatuh ke tangan PAS tetapi yang lebih memanaskan keadaan ialah kerana ada ura-ura untuk melantik Timbalan Presiden parti itu untuk menggantikan Khalid Ibrahim. Azmin Ali pernah dicadangkan oleh PAS sebagai salah seorang dari calon yang patut dipertimbangkan untuk menjawat jawatan itu.
PKR sedang memohon untuk mengadap Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor untuk ‘mendapatkan nasihat’ dan mereka tetap dengan keputusan untuk menamakan hanya seorang calon, iaitu Wan Azizah menggantikan Khalid Ibrahim. Jika Azmin dipilih untuk menggantikan Khalid maka keadaan ini lebih membimbangkan PKR (Anwar) dari perlantikan calon dari PAS.
Semua orang tahu yang jika Azmin menjadi pengganti Khalid Ibrahim ia akan merupakan permulaan bagi Azmin memimpin parti itu dalam pemilihan parti itu yang akan datang. Kita terdengar tindakan PKR memaksa Azmin untuk menolak keputusan Tuanku Sultan jika beliau (Azmin) diplih sebagai pengganti Khalid itu semata-mata untuk memperkuatkan kehendak PKR (Anwar) agar Wan Azizah menjadi pilihan untuk menggantikan Khalid Ibrahim itu.
Bagi saya, Azmin sepatutnya telah dilantik menjadi Menteri Besar sejak dari tahun 2008 lagi. Tetapi oleh kerana keperluan parti itu semasa itu maka Khalid telah dipilih untuk jawatan itu dan telah terbukti menjadi sebuah negeri yang paling telus pantadbirannya jika dinilai secara relatifnya dengan mana-mana negeri yang lain. Sebagai pemerhati dari luar, saya berpendapat Azmin adalah sinonim terhadap pembangunan PKR sejak ia mula didaftarkan dan seterusnya bergerak.
Malahan Azmin telah memimpin PKR diperingkat Timbalan Presiden dan menjadi Pengerusi PKR sejak dari dulu lagi. Jika Azmin menjadi pengganti Khalid sepatutnya tidak memberikan apa-apa masalah kepada PKR terutamanya dalam keadaan dan sinario politik Selangor pada hari ini. Apabila isu Azmin sendiri menjadi hangat diperbahaskan oleh pimpinan dan ahli PKR sendiri, ia jelas yang perjuangan PKR ialah untuk Anwar dan keluarganya semata-mata.
Jika inilah keadaan dalam PKR apalah sangat kedudukan mereka yang lain dalam Pakatan Rakyat itu? Diantara mereka pun boleh dikorbankan demi untuk keluarga Anwar. Kita tidak tahu apakah reaksi PKR jika Dr Idris, ADUN Ijok menjadi pilihan Tuanku pula? Jika Dr Idris tidak juga menjadi kesukaan pucuk pimpinan PKR, maka jelas semua tenaga dan riuh rendah berdemonstrasi selama ini hanya lah untuk Anwar dan keluarganya.
PKR tidak mahu sesiapa selain dari Wan Azizah walaupun jika yang dilantik itu datangnya dari PKR juga. Jika keadaan sedemikian maka untuk melantik pengganti Khalid ini tidak semestinya datang dari PKR kerana PKR itu hanyalah untuk kepentingan peribadi pucuk pimpinannya dan bukannya untuk berjuang memperbaharui kesucian dan kebersihan dalam pentadbiran kerajaan kita.
Maka jelas PKR bukan sahaja tidak sehaluan dengan PAS dalam isu perlantikan Menteri Besar yang baru ini, parti itu juga sedang berperang sesama sendiri dan cantas-mencantas diantara mereka sendiri.