Krisis MB Selangor


Selangor-PKR-MB

Apa yang kelihatan ialah masing-masing mengutuhkan keinginan masing-masing yang ingin menjadi juara dan jaguh di akhir kemelut ini.

Rahayu Tariq

Umno-BN gembira jika Pakatan Rakyat musnah. Pakatan Rakyat perlu tumpu atasi ujian krisis MB Selangor tanpa ego maskulin

Rakyat ingin supaya proses pelantikan Menteri Besar Selangor mencerminkan kedaulatan Tuanku yang menuntut kesetiaan rakyat jelata.

Tiada yang lebih bernilai dari kasih rakyat jelata terhadap seorang raja yang adil, saksama dan bijaksana. Memanglah tepat ungkapan ini : Raja adil, Raja disembah. Raja yang zalim, Raja disanggah.

Asal usul krisis MB Selangor ini sudah tentu mempunyai persoalan yang melibatkan beberapa tindakan yang mungkin wajar dielakkan, tetapi telah berlaku. Ia telahpun diakui sebagai keterlanjuran yang perlu seterusnya menjauhi sebarang kesan negatif yang boleh menimbulkan lagi sebarang kontroversi dengan mana-mana pihak, khususnya terhadap pihak istana.

Apapun perkara negatif yang sudah terjadi perlu segera diperbaiki dan ihsan semua pihak adalah berlakunya pula sesuatu yang mulia agar tidak wujud “impasse” yang boleh berterusan merugikan rakyat jelata.

Merealisasikan impian agar Menteri Besar wanita pertama di Malaysia sudah sangat hampir mengukir sejarah.  Ia tentunya melonjakkan berbagai statistik dan meletakkan Malaysia berimej baik dan di tangga yang sangat istimewa di mata dunia. Keberadaan wanita di kedudukan itu tentunya akan menatijahkan kemajuan yang menguja terhadap misi pemberdayaan wanita negeri Selangor, oleh kerana kefahaman terhadap isu wanita itu lebih cekap dan tangkas dikemukakan dan diurus dengan penuh iltizam dan kesungguhan oleh pemimpin wanita sendiri.

Parti Keadilan Rakyat telah mengemukakan Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail (DSWA) sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim. DSWA telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor untuk kedudukan tersebut. Kesemua anggota parti dalam Pakatan rakyat telah memberikan sokongan kepada beliau, walaupun PAS telah mengemukakan lebih dari satu nama. Berkemungkinan juga TSKI akan menjadi antara yang memberi sokongan.

Berbagai persepsi telah dicipta untuk  meragukan kesyari’ian dan kepimpinan DSWA untuk menjadi MB Wanita Pertama di Malaysia. Nancy Shukri (Ahli Parlimen Batang Sadong, BN) mendakwa bahawa DSWA seorang yang mengikut telunjuk suaminya, DSAI. Sejak bila Nancy Shukri dan kesemua YB Umno-BN punya pemikiran yang bebas dan tersendiri? Sejak bila Nancy Shukri dan kesemua YB Umno-BN bertindak memelihara kepentingan rakyat mengatasi kepentingan Umno-BN? Adakah pandangan Nancy Shukri itu telah meneliti keputusan-keputusan pelantikan MB di negeri-negeri lain yang adalah juga lantikan politik yang mesti mematuhi keputusan-keputusan parti? Dan kesemua lantikan MB Umno-BN adalah lelaki yang mengikut kata, bukan begitu?

Adakah menjadi suatu kesalahan bahawa DSWA yang menjadi Presiden yang direstui oleh seluruh anggota partinya adalah juga menjadi isteri DSAI? Siapakah yang telah menentukan nasibnya sedemikian? Mengapa mesti DSWA di diskriminasikan sehingga begitu intens dan kronis sekali?

Pandangan Nancy Shukri tidak dapat diterima sebagai sesuatu yang bernas atau rasional. Ia terlalu prejudis dan menimbulkan isu ada agenda disebalik kenyataan beliau seperti menangguk di air keroh dengan mencipta persepsi bahawa DSWA mempunyai kekurangan dengan hanya menjadi isteri DSAI. Sangatlah aib dan rucah pandangan sedemikian.

Dato’ Seri Muhammad Taib sendiri, bekas MB Selangor telah membuktikan bahawa isu kelayakan tidak timbul kerana beliau menjelaskan bahawa MB terdahulu juga tidaklah punya kelayakan sangat untuk mentadbir Selangor, tetapi parti telah mencalonkan dan dilantik oleh Sultan tanpa sebarang persoalan.

Penolakan DSWA akan menjadi suatu kecacatan dalam sejarah politik Malaysia yang berisiko dirumuskan oleh dunia tentang ciri dan pemikiran masyarakat Melayu Malaysia, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan sebagai telah lenyap ehsannya terhadap wanita dalam konteks sebagai penyelesaian krisis MB Selangor.

Umno-BN hanya pengacau yang tidak perlu “diberi muka” dalam pertimbangan krisis MB Selangor. Merekalah musuh Pakatan Rakyat yang hakiki. Dan mereka akan melakukan segalanya utuk merosakkan kesemua rancangan PR dan tentunya akan memilih mereka yang mudah dipengaruhi untuk menjadi MB Selangor.

Jika kebaikan yang diinginkan, apapun boleh diatur dengan musyawarah dan permuafakatan. Adakah itu menjadi budaya semua yang berkepentingan untuk menyaksikan tamatnya pergolakan jawatan MB Selangor ini?

Rakyat jelata tidak nampak kesungguhan itu. Apa yang kelihatan ialah masing-masing mengutuhkan keinginan masing-masing yang ingin menjadi juara dan jaguh di akhir kemelut ini. Segala yang menghalang akan ditentang habis-habisan tanpa mengira kerosakan-kerosakan yang bakal berlaku. Tiada penasihat yang membisikkan dan memberi harapan suatu bentuk mekanisme dan persetujuan semua pihak yang memungkinkan tercapainya suatu pengakhiran yang memberi ruang dan peranan semula kepada semua yang boleh merealisasikan misi reformasi di negeri Selangor.  Bertolak ansur dalam perkara-perkara yang mungkin, saling menerima kelemahan masing-masing dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah disengajakan serta memetrainya dalam satu perjanjian yang formal.

Jika para pemimpin berkehendak, mereka akan menemuinya.

Lambat laun semuanya akan diketahui umum.

Rakyat tidak selamanya hanya menjadi pemerhati. Sebahagian mereka punya kesedaran yang tinggi tentang apa yang berlaku dan Allah punya cara untuk meneguhkan keadilan dan kebenaran di muka bumi ini jika para pemimpin gagal melaksanakan amanah mereka dengan baik.

Dan ia akan menyambar manusia dengan sekonyong-konyong tanpa disedari.

Krisis MB Selangor ini adalah ujianNya yang perlu dilepasi dengan telus, tulus, hikmah, pengorbanan ego dan taqwa terhadapNya.

Ego maskulin itu adalah salah satu punca utama krisis MB Selangor ini berpanjangan.

 



Comments
Loading...