Pakatan Rakyat di ambang senja?


Farouk A Peru

Farouk A Peru, The Malaysian Insider

Sudah lama saya teringin menggunakan frasa ‘di ambang senja’ dalam konteks politik. Semasa zaman remaja, saya membeli buku tulisan Ahmad Lutfi Muhammad yang menulis buku bertajuk ‘Mahathir Di Ambang Senja’. Saya amat tertarik kepada tajuk buku itu namun tidak kepada isinya sangat.

Pakatan Rakyat (PR) sekarang nampaknya di ambang senja. Kalau tidak di senja gandingan politiknya, mungkin di senja kredibiliti di sisi rakyat. Sudah banyak saya dengar desas-desus di kalangan rakyat Malaysia yang mereka hilang keyakinan terhadap PR.

PR menang besar dalam tsunami 2008. Kami yang mahu melihat perubahan politik di Malaysia amatlah teria-ia dengan berita ini. Walaupun PR dianggotai PAS (yang saya memang sangsi), perubahan yang diperlihatkan PAS pada masa itu tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk menubuhkan ‘welfare state’ (negara yang berteraskan socialisme) yang akan membantu rakyat berdikari dan memajukan negara. Walaupun saya tidak percaya yang ‘welfare state’ patut didirikan secara ‘top down’ (dari pihak atasan turun kepada rakyat), hasrat untuk ‘welfare state’ lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

Namun janji hanya tinggal janji. PAS sebelum pilihan raya umum yang lalu, kembali kepada asal mereka iaitu hukum hudud. Memang tidak syak lagi, PAS tidak akan mengubah sasaran mereka. Tapi sekurang-kurangnya, rakyat masih ada harapan kepada DAP dan PKR. Sekarang harapan itu pun sudah punah. Sarkis politik yang diperlihatkan ketiga-tiga parti dalam krisis menteri besar Selangor yang baru berlalu menampakkan kepada rakyat betapa kurangnya sikap ambil berat ahli politik kepada rakyat. Sebaliknya politik sudah jadi permainan bola sepak, ditendang ke sana ke mari.

Kita tidak patut terkejut. PKR adalah satu gagasan yang membawa bersama tiga parti yang membawa ideologi berlainan. Satu memperjuangkan Islamofasisme, satu lagi sosialisme dan yang ketiga pula egoisme, iaitu memperjuangkan apa saja yang akan membawanya ke mercu Putrajaya. Satu kombinasi yang amat merbahaya. Pada saya, gagasan ini tak akan dapat bertahan. Sekurang-kurangya, mereka hilang kredibiliti selepas krisis mutakhir ini.

Ini tidak bermakna kita patut menerima saja politik rasialis (yang membahagikan bangsa atau etnik) seperti yang diamalkan parti pemerintah. Formula itu tidak pernah berguna dan hanya memecahbelahkan rakyat. Cara menilai orang bukanlah dengan melihat kepada bangsa atau etnik.

Sebaliknya, kita patut melihat kepada nilai-nilai sesorang yang dibuktikan melalui kelakuan mereka. Sudah banyak kali kita ditipu manusia yang mengaku sebagai pejuang bangsa. Dakwaan yang sebegini tidak boleh diterima. Kita patut melihat kepada prestasi mereka menjalankan tugas.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...