PAS Pulau Pinang dakwa wujud masalah serius


Mujahid_Yusof_Rawa

(Suara TV) – PAS Pulau Pinang mendakwa wujud masalah pembangunan yang serius di negeri ini yang amat memerlukan perhatian segera kerajaan negeri pimpinan DAP.

Bagaimanapun, parti Islam itu sukar mengajukan permasalahan yang membelenggu rakyat negeri ini berikutan sekutunya dalam pakatan pembangkang tidak lagi mengadakan mesyuarat bersamanya bagi membincangkan masalah berkenaan.

Kedua-dua perkara itu dipersetujui secara sebulat suara oleh pimpinan PAS Pulau Pinang dalam satu mesyuarat yang diadakan, Jumaat lalu, sehari selepas mereka mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata dua perkara penting itu dipersetujui secara konsensus dan mereka mahu kerajaan negeri pimpinan DAP bersikap proaktif bagi menanganinya supaya ia tidak melarat.

“Kita memperakui bahawa masalah pembangunan di Pulau Pinang, khususnya di bahagian pulau sudah dan sedang ditangani oleh kerajaan negeri walaupun masih ada ruang yang perlu diperbaiki dan PAS bersedia untuk bersama meningkatkan keberkesanannya.

Gagal bincang secara tuntas

“Mesyuarat itu juga memperakui Majlis Pakatan Rakyat Negeri tidak bertemu sejak tahun 2009 menyebabkan masalah pentadbiran, parti dan rakyat tidak dapat dibincang secara tuntas demi pembangunan mapan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sejak pakatan pembangkang mengambil alih teraju kerajaan negeri pada 2008, warga Pulau Pinang berdepan asakan pembangunan melampau, termasuk pelaksanaan projek hartanah mewah yang menyebabkan rakyat negeri itu tertekan.

Permasalahan itu dibangkitkan Bendahari PAS negeri, Iszuree Ibrahim dalam Muktamar PAS Kebangsaan Ke-60 di Batu Pahat, Johor pada 28 September lalu, di mana beliau turut melabel Kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai propemaju.

Bagaimanapun, ia mengundang tindakan daripada kerajaan negeri pimpinan DAP apabila menggantung Iszuree sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sehingga mengeruhkan hubungan PAS dengan DAP di negeri ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, keputusan mesyuarat Badan Perhubungan PAS negeri berhubung dua perkara itu dipersetujui selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk suara akar umbi di Pulau Pinang dan rakyat secara keseluruhannya.

 



Comments
Loading...