ISMA, Ustaz ‘Lembut Dengan Musuh, Keras Dengan Kawan’ dan Saya
Khalid Samad
Kebelakangan ini banyak pula yang dikomen oleh ISMA terhadap diri saya. Temuraham berhubung Oktoberfest sememangnya bertujuan untuk menyerang saya. Tetapi tidak mengapa. Lebih banyak serangan mereka terhadap saya, lebih yakin saya bahawa saya berada di jalan yang benar.
‘KEHILANGAN KOMPAS’
Baru baru ini Abdullah Zaik kata saya sudah ‘kehilangan kompas’. Mungkin ianya disebabkan komen saya berhubung Oktoberfest atau berhubung si Melati yang menyertai DAP. Tidak begitu jelas.
Saya ingin beritahu padanya, sekiranya saya kehilangan kompas, saya orang lama, saya boleh berpandukan bintang di langit pada waktu malam atau arah bayang-bayang semasa siang.
Tetapi malangnya Abdullah Zaik (Presiden ISMA) terus menggunakan kompasnya yang rosak! Maaflah Dollah, itu bukan hala tuju Islam yang ditunjukkan kompas kamu yang rosak berpusing-pusing tu. Itu adalah Islam chauvanis yang tidak mampu membezakan perkauman dan chauvanisma dari ajaran Islam.
MELATI DAN RAKAN BERSAMA DAP
Dalam soal Melati menyertai DAP saya telah sebut bahawa ianya lebih baik dari dia menyertai UMNO atau ISMA. Paling kurang dengan DAP dia akan belajar konsep integriti, ketelusan, kecekapan dan pertanggung-jawaban. Dia akan juga belajar untuk menolak sikap perkauman kerana ianya juga ditolak DAP. Kalau masuk UMNO atau ISMA apa yang dia boleh belajar? Politik wang, budaya bodek dan ampu? Perkauman yang sempit? Semoga Allah selamatkan Melati dan orang Islam dari ini semua.
Pada masa sama saya telah pesan kepada Melati untuk jaga aqeedahnya dan amalannya. Sudah pasti bab aqeedah dan amalan Islam Melati tidak akan belajar dari DAP kerana DAP sendiri pun sering merujuk pada pandangan PAS dalam soal agama Islam. Dan ini lebih selamat dari dia masuk UMNO atau ISMA di mana dalam rujukan politik pun UMNO atau ISMA akan merosakkannya dan dalam rujukan agama pun UMNO atau ISMA akan merosakkannya.
Saya juga telah sebut bahawa PAS adalah pilihan terbaik, tetapi mungkin ada faktor penolak. Dan saya sebut sekiranya faktor penolak ini telah tiada, harap-harap Melati akan bersama PAS.
BEZAKAN ‘MINUM ARAK’ DAN ‘PESTA ARAK’
Dalam kenyataan terbaru salah seorang pemimpin ISMA, dia meminta saya bezakan antara ‘Pesta arak’ dan ‘Minum arak’. Maaf, di pesta arak mereka tidak minum arak ke? Mereka mandi arak? Kalau mereka nak mandi arak sekali pun, ada masalah ke?
Ianya hanya menjadi masalah apabila mereka memanggil orang Islam untuk minum dan mandi arak juga. Tetapi sekiranya mereka membuatnya di kalangan mereka untuk memperkenalkan jenama dan produk baru sesama mereka, apa masalahnya kepada ummat Islam? Sebenarnya itulah tujuan Oktoberfest ini. Marketing, promosi. Bukan untuk berpesta mabuk-mabukan dan hilang kawalan. Kalau itulah tujuannya, syarikat mana yang ingin anjur, habiskan duit?
Read more at: http://www.khalidsamad.com/2014/10/isma-ustaz-lembut-dengan-musuh-keras.html