Kerajaan Pulau Pinang dipersoal


Mujahid_Yusof_Rawa

Ini berikutan kegagalan mereka untuk membantu pengusiran kira-kira 48 buah keluarga yang menetap di Kampung Mutiara, Batu Ferringhi.

Khairil Ashraf, Free Malaysia Today

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini dipersoal oleh beberapa Ahli Parlimen berikutan kegagalan mereka untuk membantu pengusiran kira-kira 48 buah keluarga yang menetap di Kampung Mutiara, Batu Ferringhi.

Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Zairil Khir Johari berkata, selama enam tahun kebelakangan ini seringkali pihak Kerajaan Negeri berjaya mendapatkan pampasan yang memadai dalam banyak kes yang membabitkan pengusiran setinggan di Pulau Pinang.

“Sebagai contoh, dalam kes Kampung Chetty iaitu sebuah kampung berdekatan yang juga terletak di Batu Ferringhi, pampasan satu unit kos sederhana rendah telah diberi oleh pihak pemaju sebagai ganti rugi bagi setiap buah rumah yang dikosongkan.

“Dalam kes Kampung Chetty dan kampung-kampung setinggan lain di Pulau Pinang, pampasan biasanya berjaya diperolehi hasil usaha rundingan bersama wakil rakyat, kerajaan negeri, penduduk serta pihak pemaju,” kata mereka.

Media melaporkan baru-baru ini bahawa kira-kira 48 buah keluarga penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringghi yang telah wujud sejak lebih 50 tahun lalu diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing tanpa pampasan dan rumah ganti.

Menurut mereka, disebabkan kes Kampung Mutiara tidak melibatkan pihak pemaju dan Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang permohonan merancang, maka Kerajaan Negeri tidak mempunyai locus standi untuk mencampur tangan.

“Dalam erti kata lain, kes ini adalah kes mahkamah antara tuan tanah dan penduduk semata-mata. Kami membantah tindakan tuan tanah yang tidak berhati perut,” kata mereka.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...