Pakatan Rakyat tidak mungkin sampai ke Putrajaya (bhg2)
Aspan Alias
Dalam posting yang lepas saya mengatakan yang PR tidak mungkin beroleh kejayaan memerintah negara ini walaupun selepas pilihanraya yang akan datang. Sebabnya bukan susah untuk difahami jika kita lupakan emosi dan berfikir secara realistik dan praktikal.
Ramai yang beremosi dengan gahnya berkata yang mereka dari pembangkang akan menumpaskan UMNO dan BN dalam pilihanraya yang akan datang, Itu jugalah yang kita dengar sebelum pilihanraya yang lalu dalam mana jika dilihat dari aura yang menolak BN begitu kuat seolah-olah tidak ada lagi peluang untuk UMNO memenangi walaupun sepuluh kerusi.
Tetapi keputusannya tetap memihak kepada BN khususnya UMNO, malahan UMNO telah memenangi sembilan kerusi tambahan dari pada pilihanraya 2008 dahulu walaupun jumlah kemenangan bagi BN keseluruhannya jatuh sebanyak tujuh kerusi.
Belum ada satu parti pun yang boleh menandingi UMNO dari jumlah kemenangan kerusinya. Jika DAP memenangi kesemua kerusi yang mereka tandingi sebanyak 47 kerusi itu pun UMNO tetap memenangi jumlah kerusi yang terbanyak.
Dalam pilihanraya yang akan datang jika UMNO kehilangan 20 kerusi sekali pun, parti itu tetap parti yang memperolehi kerusi yang terbanyak waimma jika BN keseluruhannya kalah berbanding dengan jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat secara ‘collective’. Kita perlu ingat yang dalam pilihanraya pertandingan itu adalah di antara BN dengan PAS, DAP dan PKR.
Jika BN kalah tetapi UMNO memenangi jumlah kerusi secara individu UMNO akan tetap diberikan hak untuk membentuk kerajaan. Terpulang kepada UMNO semasa itu untuk bekerjasama dengan sesiapa bagi mencukupi jumlah kerusi untuk membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.
Mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat hanya akan mampu menubuhkan kerajaan jika ada mana-mana parti di antara mereka yang bekerjasama secara longgar itu memenangi lebih kerusi dari UMNO. Itu sebabnya sudah ramai yang sedar yang Pakatan Rakyat tidak akan mampu untuk menghampiri Putrajaya asal lagi tidak ada satu ‘coalition’ yang terdaftar secara resmi yang mewakili pihak pembangkang. Setakat ini PR bukan satu pertubuhan terdaftar, ia hanya satu kerjasama secara ‘informal’ bagi mendapat dan meraih undi dalam pilihanraya sahaja.
Mereka bukannya bersatu untuk matlamat yang sama kerana masing-masing DAP dan PAS serta PKR mempunyai motif perjuangan yang berlainan. Itu sebabnya apa yang berlaku dalam isu pemilihan Menteri Besar Selangor baru-baru ini bukanlah satu insiden yang mengejutkan banyak pihak.
PKR baru sahaja selesai mengadakan pemilihan parti di setiap peringkat dan dalam proses pemilihan itu PKR telah menghadapi perpecahan di setiap peringkat juga. Maka PKR tidak lagi sekuat dahulu dan Pakatan Rakyat pun bukan sehebat semasa sebelum pilihanraya yang lalu. Faktor ini merupakan faktor yang sangat besar yang menyebabkan PKR dan Pakatan Rakyat bertambah lemah dan ramai pemimpin mereka termasuk Anwar Ibrahim sendiri menjadi bahan persoalan dikalangan pimpinan dan ahli-ahli partinya sendiri. Bukan usaha yang mudah untuk memperkasakan lagi PKR seperti yang kita lihat dahulu.
Anggapan setengah pihak yang PAS akan hilang di dunia ini jika parti itu keluar dari Pakatan Rakyat. Pertamanya Pakatan Rakyat bukan pertubuhan yang formal dan terdaftar dan bagi PAS tidak ada isu keluar atau masuk Pakatan Rakyat yang tidak wujud secara rasmi itu. Kalau PAS tidak bekerjasma lagi dengan DAP ia bukan satu tindakan keluar dari gabungan itu, kerana gabungan itu tidak pernah wujud secara rasminya.