Polemik I want to touch a dog: sejahterakan Malaysia dengan dakwah
Hasrat Syed Azmi al-Habshi selaku penganjur program ‘I want to touch a dog’ tidak lebih dari sekadar mengulang kisah lama.
Amidi Abdul Manan, TMI
Program “I want to touch a dog” merupakan program ulangan. Satu perdebatan berkaitan dengan perihal jilatan anjing berlaku di negeri Kelantan pada tahun 1937.
Perselisihan pandangan atau pendapat ini bermula dengan Nik Abdullah Wan Musa, seorang ulama muda ketika itu yang kemudiannya diteruskan ayahandanya Wan Musa Abdul Samad yang pernah menjadi Mufti Kelantan dari 1908 hingga 1916.
Perbezaan ini bermula dari tahun 1936, apabila Nik Abdullah dipanggil raja Kelantan ketika itu YM Tengku Ibrahim ibnu Sultan Muhammad IV ke istana bagi meminta pandangannya berkaitan hasrat baginda untuk memelihara anjing.
Nik Abdullah menjawab jika ada keperluan seperti menjaga keselamatan maka ia adalah diharuskan. Berkaitan perihal jilatan anjing pula beliau memberikan dua pandangan menurut mazhab Maliki dan Mazhab Syafie.
Beliau menyatakan jika terdapat lebih dari satu pandangan maka diperbolehkan untuk umat Islam beramal dengan mana-mana pandangan tersebut. Pandangan ini sampai kepada Ibrahim Yusof yang merupakan Mufti Kelantan ketika itu.
Beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan Nik Abdullah yang mahukan agar rakyat Kelantan beramal menurut Imam Syafie dan disokong beberapa ulama lain seperti Ahmad Mahir Ismail, Abdullah Tahir Ahmad dan lain-lain lagi.
Umur Nik Abdullah tidak panjang. Beliau meninggal tak lama selepas itu. Ayahnya yang merupakan bekas Mufti Kelantan, meyakini kebenaran pandangan anaknya bertindak mempertahankan pandangan anaknya dalam kuliah-kuliah pengajian yang dikendalikannya.
Pertelingkahan ini berpanjangan dan semakin membesar dalam masyarakat sehingga menarik perhatian Sultan Kelantan ketika itu iaitu Sultan Ismail ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV.
Baginda memanggil kedua-dua belah pihak ke Istana Jahar untuk mendapatkan persepakatan dan seterusnya menghentikan polemik yang sedang hangat dalam masyarakat Kelantan. Usaha baginda menemui jalan buntu dan gagal mendapat persepakatan pihak-pihak yang berselisih pandangan.
Masyarakat terus dengan polemik berkaitan perihal jilatan anjing ini. Usaha pihak istana tidak terhenti disitu, Tengku Ibrahim merancang untuk membuat satu perdebatan berkaitan hal ini yang melibatkan lebih ramai ulama’ di Istana Sri Cemerlang.
Perdebatan itu turut melibatkan Abas Taha (Kadi Besar Singapura) dan Dr Burhanudin al-Helmi (S/U majlis Ulama Singapura), yang menyebelahi Wan Musa.
Sultan Ismail bertindak sebagai hakim. Namun seperti sebelumnya, Sultan Ismail tidak dapat membuat keputusan dan menyerahkan kepada rakyat untuk beramal dengan mana-mana pandangan yang diperdebatkan. Sekembalinya dari perdebatan itu Abas Taha menulis satu kitab yang berjudul Risalah Penting, yang mengumpulkan pandangan ulama’ yang menyokong pendapatnya termasuklah Mufti Mesir seperti yang dicatatkan Maulana al-Sheikh al-Marori.
Tidak cukup setakat itu, Raja Kelantan, Tengku Ibrahim turut menghantar 3 soalan kepada Sheikh al-Azhar ketika itu Syed Mohd Mustapha al-Maraghi, yang menyokong pendapat Nik Abdullah. Jawapan tersebut diterima pada 1 April 1937.
Jelas dicatatkan dalam sejarah, orang Melayu berbincang berkaitan hal ini kira-kira 90 tahun yang lalu. Hasrat Syed Azmi al-Habshi selaku penganjur program ‘I want to touch a dog’ tidak lebih dari sekadar mengulang kisah lama.
Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/polemik-i-want-to-touch-a-dog-sejahterakan-malaysia-dengan-dakwah-amidi-abd