Agenda hapuskan SJKC, SJKT?


Uthaya Sankar SB

Ramai murid SJKC dan SJKT memiliki penguasaan Bahasa Malaysia lebih baik berbanding “penutur asli bahasa Melayu” di SK.

Uthaya Sankar SB, Malay Mail Online

Semasa forum bertajuk “Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 September 2014, isu berkaitan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) turut ditimbulkan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.

“Oleh kerana kita mengadakan sistem pendidikan vernakular, seperti SJKC dan SJKT, ini melambatkan proses kita untuk menghapuskan dalam minda kita bahawa kita adalah satu bangsa yang menggunakan bahasa yang satu dan sistem pendidikan yang sama,” katanya pada forum yang turut saya hadiri.

Akhbar Mingguan Malaysia (5 Oktober 2014) pula melaporkan cadangan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad supaya Perhimpunan Agung Umno pada November 2014 “membincangkan dengan teliti sama ada SJKC perlu diterus atau dimansuhkan.”

Seperti bulan jatuh ke riba, akhbar Utusan Malaysia (25 Oktober 2014) memetik “pendedahan” pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, kononnya berdasarkan hasil kajian dalam kalangan 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 79 kem seluruh negara pada 2010, sejumlah 604 pelatih kaum Cina dan India langsung tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia.

“Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baru tiga bulan sudah boleh berbahasa Melayu,” sindir Ku Seman Ku Hussian di Mingguan Malaysia (26 Oktober 2014).

Tanpa berniat menafikan atau mempersoalkan kesahihan “fakta” yang dikemukakan Kok Seong, suka saya menegaskan bahawa pasti ada beberapa perkara yang tidak dilaporkan media arus perdana.

Perkara paling utama adalah bahawa pelatih kaum Cina yang dinyatakan itu tidak pernah mendengar nama, tidak pernah berpeluang membaca karya, serta tidak pernah berpeluang bertemu Dr Lim Swee Tin dan isterinya, Selina SF Lee.

Sekadar contoh, semasa suatu acara khas bagi khalayak SJKC di Kulai Jaya, Johor pada 12 Mac 2011, hadirin begitu kagum, bangga dan bersemangat mendengar ceramah mereka berdua yang fasih serta menguasai Bahasa Malaysia; lebih baik daripada kebanyakan “penutur asli bahasa Melayu”.

Kalaulah kelompok pelatih kaum Cina itu yang kononnya langsung tidak tahu bercakap Bahasa Malaysia telah berpeluang membaca karya-karya Swee Tin dan Chai Loon Guan (atau berpeluang bertemu mereka), pasti perkara yang sebaliknya berlaku pada hasil kajian PLKN.

Pengalaman Kavyan di sekolah vernakular

Mungkin juga kelompok pelatih PLKN terbabit hanya berpeluang membaca (atau dipaksa membaca) segala “sampah-sarap” yang ditulis oleh Ridhuan Tee Abdullah di Utusan Malaysia dan Sinar Harian.

Lelaki “Melayu celup” itu seolah-olah memang mempunyai agenda jahat serta “dibela” puak etnosentrik tertentu, khusus untuk melaga-lagakan orang Melayu dan Cina, serta membuatkan orang Cina membenci Bahasa Malaysia.

Dalam isu pelatih PLKN, satu lagi perkara yang saya yakini adalah bahawa kelompok tersebut tidak membabitkan walau seorang pun bekas pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur.

Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin sudah masuk tahun ketujuh dan kejayaan ini sendiri menjadi bukti nyata bahawa rata-rata pelajar dan bekas pelajar SM Tsun Jin tidak menghadapi masalah menguasai Bahasa Malaysia; secara lisan mahupun bertulis.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 ada pengalaman berterusan mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di sekolah kebangsaan (SK), SJKT, SJKC dan sekolah menengah aliran Cina selama lebih sepuluh tahun.

Seperti yang saya nyatakan dalam sebuah makalah bertajuk “Ultrakiasu bahasa Melayu” (The Malaysian Insider, 21 Oktober 2014), hasil pengalaman dan penelitian Kavyan, ramai murid dan guru di sekolah vernakular mempunyai minat serta penguasaan Bahasa Malaysia yang sangat menakjubkan.

Saya menjadi penilai Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin sejak beberapa tahun lalu dan melihat sendiri karya kreatif (cerpen) Bahasa Malaysia yang dihasilkan pelajar sekolah Cina.

Dalam makalah bertajuk “Alahai, penulis bukan Melayu!” (Malay Mail Online, 7 Oktober 2014), saya menjelaskan bahawa ramai murid SJKC dan SJKT memiliki penguasaan Bahasa Malaysia lebih baik berbanding “penutur asli bahasa Melayu” di SK.

Nampaknya seperti ada agenda terancang untuk melakukan serangan bertubi-tubi serta mencari kelemahan SJKC menjelang Perhimpunan Agung Umno. Kita hanya perlu meneliti laporan media mengenai isu SJKC sejak belakangan ini untuk memahami perancangan licik yang sedang dilakukan.

Read more at: http://www.themalaymailonline.com/opinion/uthaya-sankar/article/agenda-hapuskan-sjkc-sjkt

 



Comments
Loading...