Azmin penyelamat PKR?


azmin_ali_300

Dengan perancangan yang bijak dan teratur mampu melayakkannya menduduki kerusi Menteri Besar Selangor, jika direncanakan sebaik mungkin mampu melonjakkan Azmin untuk menduduki kerusi Presiden PKR.

Edwin Michael, Free Malaysia Today

Ada pandangan yang mengatakan bahawa karier politik Anwar Ibrahim akan berakhir sekiranya mahkamah persekutuan mendapati beliau bersalah dalam sabitan liwat kali ini dan ini akan dijadikan sebagai batu loncatan oleh pembangkang untuk membangkitkan semangat revolusi rakyat seperti apa yang sedang berlaku di Hong Kong kini. Ada juga pandangan yang merumuskan bahawa hari-hari terakhir Anwar Ibrahim masih jauh lagi dan beliau akan didapati tidak bersalah dan akan terus menjadi nahkoda Pakatan Rakyat (PR).

Pembangkang Perlukan Nafas Baru

Sama ada beliau didapati bersalah atau tidak, pembangkang di negara ini nyata memerlukan satu imej yang baru untuk meneruskan survival politik mereka.

Langkah Kajang yang disusun oleh bekas Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini Setiausaha Agung PKR iaitu Rafizi Ramli merupakan satu malapetaka kepada keseluruhan pakatan pembangkang. Krisis Menteri Besar dengan tuduhan demi tuduhan yang dibuat oleh PKR terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini nyata terbukti tidak berasas serta berniat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti beliau akhirnya hanya menjahanamkan kredibiliti pembangkang itu sendiri.

Isu Lebuhraya Kinrara – Damansara (Kidex) sudah cukup untuk membuktikan betapa PKR bukan sahaja telah memfitnah Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi juga telah memberikan harapan palsu kepada Jawatankuasa Anti Kidex apabila Menteri Besar Selangor, Azmin Ali tidak membatalkan projek ini serta turut senada dengan kerajaan persekutuan dalam soal penstrukturan air yang sebelum ini turut menjadi senjata serangan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim. Hakikatnya, serangan-serangan ini tidak mungkin akan terjadi tanpa restu daripada Anwar Ibrahim sendiri.

Azmin Harus Cantas Pengaruh DAP

Apa yang pasti dinasti Anwar Ibrahim dalam politik negara dilihat sudah tidak memberikan apa-apa impak yang kuat. Beliau hanya sekadar dilihat sebagai satu simbol politikus yang bijak memanipulasikan keadaan untuk mencapai hasrat menjadi Perdana Menteri namun setiap kali langkahnya untuk menguasai Putrajaya pasti tergelincir.

Harus diakui bahawa Azmin Ali mempunyai karisma politik yang tidak ada pada mana-mana ahli politik pembangkang dan andaian bahawa beliau mungkin akan mengemudi PKR dan pakatan pembangkang tidak boleh diketepikan sebegitu sahaja. Jika dengan perancangan yang bijak dan teratur mampu melayakkannya menduduki kerusi Menteri Besar Selangor, elemen yang sama jika direncanakan sebaik mungkin mampu melonjakkannya untuk menduduki kerusi Presiden PKR.

Read more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2014/11/03/azmin-penyelamat-pkr/

 



Comments
Loading...