PPS diisytihar pertubuhan haram, semua akaun, aset diserah Jabatan Insolvensi


MOHAMAD KHALID BIN HJ. SHARIFF

Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 3 November 2014.

Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) merupakan pertubuhan yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam negara ini.

Peruntukan di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] adalah berkaitan kuasa Menteri di dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang.

“Maka adalah sah di sisi undang-undang bagi Menteri, menurut budi-bicaranya yang mutlak dengan jalan perintah, mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan, cawangan atau peringkat atau jenis pertubuhan yang pada pendapatnya adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana tempat di dalamnya, ketenteraman awam atau akhlak”.

Dari segi implikasi pengisytiharan, Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966:

a) Tiada sesiapapun boleh menggunakan semula nama, simbol, lambang atau logo Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) sebagai pertubuhan berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 7 (3)(b) Akta Pertubuhan 1966;

b) Segala akaun, aset, harta Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia; dan

c) Tiada seseorangpun boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS).

Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335.

Sebagai contoh, Seksyen 6 (2) dan 6 (3), Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan.

Saya menyeru kepada masyarakat untuk memberi kerjasama dalam membantu usaha kerajaan untuk membanteras aktiviti-aktiviti Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada.-4/11/2014

YBHG. DATO’ SRI  MOHAMAD KHALID BIN HJ. SHARIFF
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

 



Comments
Loading...