Mapim: Perlu henti sikap liberal
(Sinar Harian) – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan untuk menyemak semula model pembangunan yang digunakan sekarang.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia perlu berubah dan menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat bermaruah dan berakhlak tinggi serta tidak bersikap liberal.
“Sebagai contoh, dengan meluluskan hiburan yang melanggar syariat, mengekalkan industri judi dan arak, membenarkan pelbagai penerbitan majalah, drama dan filem berunsur lucah serta semi lucah.
“Akibat dasar liberal ini, ia telah membawa kesan yang parah dalam aspek sosiobudaya rakyat hingga merosakkan pemikiran dan mengikis jati diri masyarakat terutama generasi anak muda,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Katanya, Mapim mendapati, ini berlaku kerana keghairahan kerajaan untuk mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi yang akhirnya tidak menggunakan acuan sendiri seperti yang diuar-uarkan dalam wawasan 2020.
“Acuan sendiri yang dikatakan dalam Wawasan 2020 itu tidak pernah wujud. Kerajaan mengguna kerangka sekular yang meletakkan peranan agama terpisah dari pembangunan negara.
“Jika ada pun unsur agama, ia masih bersifat pinggiran kerana lebih mementingkan acuan Barat berintikan ekonomi kapitalis dan sosial budaya berasaskan nilai liberal moden untuk membangunkan negara,” katanya.
Mohd Azmi berkata, dengan pendekatan sedemikian menyebabkan pembangunan insan gagal dilaksanakan secara berkesan.
“Apabila model pembangunan terlalu menekankan soal pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal dengan projek yang berskala mega, aspek pembangunan insan terabai, akibatnya krisis sosial semakin meruncing serta berleluasa di kalangan masyarakat.
“Jika ada pun pembangunan sumber manusia dilaksanakan, ia lebih menekankan dari segi kemahiran dan teknologi, bukan dari segi kekuatan jati diri dan sosiobudaya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, pemikiran Islam liberal yang sering diungkit pemimpin negara juga sebenarnya telah diguna pakai oleh kerajaan sendiri apabila mahu mengatasi pelbagai gejala sosial yang dihadapi masyarakat.