Hadi perlu berundur demi Pakatan dan masalah kesihatannya, kata sumber


hadi_awang_muktamar

(TMI) – Parti Islam itu boleh memperbaiki hubungan mereka bersama PKR dan DAP yang semakin keruh disebabkan sikap dingin presiden PAS itu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dipujuk rakan-rakannya agar berundur demi masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) dan masalah kesihatannya yang tidak melayakkannya untuk terus memimpin parti Islam itu, kata sumber.

Mereka memberitahu The Malaysian Insider jika Hadi bersetuju, parti Islam itu boleh memperbaiki hubungan mereka bersama PKR dan DAP yang semakin keruh disebabkan sikap dingin presiden PAS itu.

Hadi tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PR sejak tidak bersetuju dengan tindakan PKR dan DAP untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada Ogos lepas.

Menurut pemimpin veteran parti itu, kesihatan Hadi tidak begitu baik sejak mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke hospital di Istanbul, Turki pada Mei.

Difahamkan selepas pulang dari Turki, Hadi sukar untuk mengawal kemarahannya dan beberapa insiden memalukan berlaku seperti memarahi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjunginya di Terengganu semasa kemelut menteri besar Selangor.

“Presiden banyak berubah selepas masuk hospital di Turki dan seringkali membuat keputusan secara bersendirian. Mungkin sudah sampai masa untuk beliau berundur,” kata seorang pemimpin kanan PAS kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak dinamakan.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hadi-perlu-berundur-demi-pakatan-dan-masalah-kesihatannya-kata-sumber



Comments
Loading...