Rayuan dua ADUN PAS Selangor ditolak


Hasnul-Saari

(Agenda Daily) – Majlis Syura Ulama PAS mengekalkan penggantungan setahun kepada dua Adun PASnya, iaitu Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib Hasnul Baharudin.

Saari menerima surat pemakluman itu pada tengahari Sabtu manakala Hasnul menerimanya lebih awal iaitu petang Jumaat 7 November.

saari dan hasnul“Saya terima surat dari Majlis Syura tengahari tadi yang memaklumkan hukuman ke atas saya oleh AJK PAS Pusat sebelum ini dikekalkan,” kata Saari.

Mesyuarat AJK PAS Pusat yang berlangsung pada 11 Oktober lalu, membuat keputusan menggantung keahlian Saari dan Hasnul Baharudin (Adun Morib) selama setahun, berkuatkuasa tarikh sama.

Tindakan itu diambil ekoran tindakan mereka berdua menandatangani akuan bersumpah menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, kedua-dua Adun berkenaan diberi peluang mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti mengikut fasal 83 (4) (5) Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Ekoran itu, kedua-dua mereka menghantar surat rayuan kepada Majlis Syura Isnin lalu.

Majlis Syura Ulama mengadakan mesyuarat Ahad lepas dan membuat keputusan terhadap Saari dan Hasnul.

Antara kandungan surat yang diterima Saari dan Hasnul adalah arahan agar mereka terus istiqamah dalam jamaah dan berdisiplin.

 



Comments
Loading...