Undang-undang Islam dicabar


Syariah-LAW

Penghakiman oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini menimbulkan persoalan sejauh mana kedudukan agama Islam di negara ini adalah terpelihara dan berdaulat.

Khairil Ashraf, Free Malaysia Today

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah ‘tidak berperlembagaan’ merupakan satu cabaran kepada kedaulatan dan kedudukan perundangan Islam.

Beliau berkata, penghakiman itu menimbulkan persoalan sejauh mana kedudukan agama Islam di negara ini adalah terpelihara dan berdaulat sedangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Peruntukan Islam agama Persekutuan tersebut tidak harus ditafsir menurut kacamata penjajah yang mentafsirkan Islam hanya sebagai amalan upacara keagamaan semata-mata tetapi mesti ditafsirkan sebagai Islam cara hidup dengan segala perundangannya adalah rujukan tertinggi negara ini dan mana-mana undang-undang yang berlawanan adalah terbatal.

“Juga menimbulkan persoalan keabsahan dan kedaulatan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri dengan kuasa yang diperuntukkan oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, keputusan Mahkamah Rayuan itu dilihat tidak selaras dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Mahamah Tinggi Sivil tidak boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Mohd Khairuddin berkata, implikasi dari keputusan itu juga menyebabkan ia akan menjadi kes rujukan di Mahkamah pada masa depan dan membuka ruang lebih banyak pihak tampil mempertikaikan keabsahan undang-undang Syariah.

Tambahnya, ia turut akan membuka ruang untuk golongan yang melakukan amalan yang bercanggah dengan Islam kerana merasakan mereka dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menuntut Kerajaan Negeri Sembilan secara khusus menerusi Exco Agama dan Majlis Agama Islam Negeri mengambil proses perundangan yang wajar bersifat segera bagi menangani isu ini.

“DUPP juga menuntut tindakan segera menurut lunas perundangan oleh pihak berwajib yang lain bagi menangani isu ini dengan penuh keprihatinan,” ujarnya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...