MCA jangan celupar, jangan campur urusan UMNO
Jika MCA lemah dan gagal pikat hati orang Cina, itu salah mereka
Mohamad Fadli, Free Malaysia Today
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan MCA jangan mencampuri ‘urusan UMNO’ kerana UMNO selama ini tidak pernah campur tangan dalam urusan parti itu.
Beliau menegaskan, UMNO selama ini mengambil sikap berdiam diri dan banyak bersabar ketika pemimpin MCA secara terbuka mencetuskan isu sensitif membabitkan orang Melayu.
“Saya minta pemimpin MCA jangan celupar, jangan campur urusan persidangan UMNO kerana tidak ada kena mengena dengan mereka,” katanya dalam entri terbarunya di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Tambahnya, daripada MCA cuba ‘mengatur’ perjalanan persidangan UMNO lebih baik terlebih dahulu ‘membersihkan’ parti itu pada kacamata pengundi Cina.
“Perwakilan UMNO berhak bercakap dan melontar apa jua pandangan mereka pada perhimpunan parti yang akan berlangsung 25 November ini.
“Persidangan itu merupakan medium terbaik perwakilan UMNO memberikan pandangan, kritikan dan bersuara menyatakan harapan serta pendirian parti demi masa depan orang Melayu,” jelasnya
Katanya, pemimpin UMNO tahu batasnya apabila berhujah kerana sentiasa berpegang kepada semangat permuafakatan dalam Barisan Nasional (BN) yang turut dianggotai MCA.
“Jangan nak ajar UMNO, kita berhak bercakap demi kepentingan orang Melayu.” ujarnya.
Syed Ali mendakwa pemimpin MCA seperti takut kepada bayang-bayang dan parti itu sama sekali tidak wajar terlalu curiga terhadap UMNO.