UMNO: Tepuk dada tanyalah selera


aspan

Justeru apa yang dikatakan oleh Muhyidin itu betul dan benar. Kali ini mungkin barisan kepimpinan hari ini akan jatuh dan membawa kejatuhan UMNO bersama mereka. Mereka masih tidak rela untuk turun dan meninggalkan UMNO dalam keadaan selamat.

Aspan Alias

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui yang UMNO dalam keadaan kritikal dan mempunyai peluang untuk ditolak rakyat jika tidak melakukan pembetulan dan perubahan. Pandangan ini merupakan pandangan yang jujur dan saya menyertai pihak ramai yang menyambut pandangan TS Muhyiddin ini secara terbuka itu.

Muhyiddin menyebut tentang perbezaan dahulu dan sekarang dalam UMNO, terutamanya perbezaan dipihak Pergerakan Pemuda parti. Pemuda dilihat begitu senyap seolah-olah UMNO tidak mempunyai masalah dan keadaan ini sudah berlaku sejak beberapa lama dahulu. Muhyiddin sedar yang Pemuda UMNO dulu-dulu nya sangat berani dan sensitif terhadap isu yang berada di depan mereka yang mereka tidak akan teragak-agak untuk menyuarakannya secara terbuka.

Malahan Pemuda telah berani menukar pimpinan yang mereka anggap sebagai tidak bermaya pada tahun 1976 dahulu dalam mana mereka telah menonjolkan Jaafar Albar sebagai Ketua Pemuda nya walaupun Syed Jaafar Albar telah berusia 62 tahun semasa itu. Pemuda berani bertindak dan maju ke depan apabila mereka tidak berapa setuju dengan Hussein Onn dalam beberapa isu penting termasuk isu Dato Harun Idris. Pemuda menganggap tindakan Hussein terhadap Harun Idris semasa itu sebagai satu tindakan penganiayaan politik terhadap Ketua Pemuda semasa itu..

Pemuda mempunyai suaranya sendiri dan apa yang disebut oleh Muhyiddin itu ada kebenarannya. Pemuda sekarang tidak boleh dibandingkan dengan pemuda zaman Harun Idris atau zaman Suhaimi Kamarudin dan Jaafar Albar yang dianggap sebagai singa UMNO itu. Saya kira Pemuda sekarang bukan tidak pandai tetapi mereka telah terperangkap dengan budaya menjadi jurucakap UMNO induk. Pemuda sekarang lebih mempertahankan pucuk pimpinan dari mempertahankan orang Melayu dan ahli-ahli UMNO dibawahan.

Jika diberitahu pun pimpinan pemuda Umno sekarang ini, mereka akan menganggap kita ketinggalan zaman kerana pada mereka yang mengikut zaman ialah dengan mempertahankan pucuk pimpinan walaupun pucuk pimpinan itu melakukan dosa dan noda terhadap ahli-ahlinya serta orang melayu dan rakyat amnya. Pemuda sekarang hanya melakukan gerak kerja parti dengan mengampiri ahli-ahlinya tanpa sebarang gerak kerja dan program yang mempunyai hubung kait dengan Pemuda.

Pemuda zaman dahulu mempunyai ‘consequence’ yang besar terhadap politik negara khususnya orang-orang Melayu. Pemuda UMNO di zaman Datuk Harun merupakan agen perubahan besar terutamanya dalam proses memperbandarkan orang Melayu, kerana sebelum berlakunya 13 Mei 1969 dahulu jumlah penduduk orang melayu dibandar-bandar besar di negara ini amat kecil.

Hasilnya kita telah melihat dengan jelas yang orang Melayu mempunyai pengaruh besar dibandar-bandar kerana kita boleh melihat di Kuala Lumpur sahaja kita mempunyai ahli-ahli legislatif persekutuan dari kaum Melayu dan dari UMNO. Sebelum itu ia merupakan pemimpin disiang hari sahaja untuk melihat wakil orang Melayu di Dewan Legislatif dari Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar di negara ini.

Pemuda di suatu zaman dahulu merupakan agen bagi mempastikan perlaksanaan dasar kerajaan itu dilaksanakan dengan betul. Dalam perlaksanaan dasar untuk mengimbangi bilangan bumiputra dalam bidang aktisad semasa itu Pemuda UMNO telah turun padang untuk mempastikan semua syarikat-syarikat awam dan korporat besar mengadakan program menambah bilangan penyertaan orang Melayu dalam tahap pengurusan sekarang-kurangnya 30 peratus itu terlaksana dengan baik.

Maka telah banyak syarikat-syarikat bertindak mengadakan ‘management trainees’ untuk membawa bumiputra yang terlatih dalam bidang iktisad dan separa iktisad untuk menjalani latihan dalam pengurusan yang akhirnya di serap dan berkerja dalam syarikat-syarikat tersebut. Maka kita telah melihat begitu cepat dan bercambahnya anak-anak muda yang telah diberikan peluang untuk berada di tahap pengurusan syarikat-syarikat awam semasa itu.

READ MORE HERE



Comments
Loading...