‘Business as usual’ selepas perhimpunan agung UMNO


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_AspanAlias_zpsad6a015f

Aspan Alias

Dalam taklimat tertutup dengan perwakilan UMNO semalam. Presiden parti itu telah menyebut untuk memberikan peluang yang lebih mudah bagi gulungan professional untuk menjadi ahli dengan membuat permohonan menjadi ahli. Sekarang permohonan menjadi ahli secara on-line supaya lebih ramai gulungan itu menjadi ahli dan seterusnya memperkuatkan parti untuk menghadapi rakyat dalam pilihanraya nanti.

Bagi pimpinan UMNO ini beliau memberikan sebab yang salah satu dari kelemahan parti ialah kerana kepayahan untuk menyertai UMNO selama ini.  Ini adalah cara untuk menjayakan usaha meremajakan parti dan isu ini merupakan isu yang lama. Elok kita bahaskan isu ini dengan terbuka dengan penuh kejujuran dan berpijak di bumi yang nyata.

Adakah dengan penyertaan gulungan professional ini mampu untuk memberikan lonjakan sokongan kepada parti ini setelah begitu teruk sejak dua penggal pilihanraya yang lalu. UMNO merupakan parti yang terbesar tetapi sejak sepuluh tahun dahulu parti ini telah merosot sokongan ramai terhadapnya. Jumlah ahli yang besar tidak memberikan apa-apa faedah kerana ia boleh menjejaskan dan mengelirukan parti itu sendiri.

UMNO telah keliru selama ini dan menyangkakan yang parti itu kuat kerana jumlah ahlinya yang begitu besar. UMNO ibarat tubuh yang besar tetapi terlalu banyak penyakit yang dihidapinya dan sampai kini masih tidak dapat disembuhkan.

Sejak tiga empat hari ini, banyak publisiti telah dibuat bagi membuat laporan tentang agenda perhimpunan agung kali ini yang penuh dengan perancangan dan agenda besar bagi memperkasakan parti dan kali ini tag-line nya ialah untuk meremajakan UMNO. Beginilah situasinya setiap tahun sehari dua sebelum perhimpunan agung itu tetapi keadaan tetap sama dan tidak ada perubahan dan jika ada perubahan pun ia adalah perubahan yang lebih teruk dari tahun-tahun sebelumnya.

Meremajakan parti tidak boleh membawa apa-apa kebaikan jika parti itu sudah dipandang remeh oleh rakyat ramai lebih-lebih lagi sekarang ini. Masalahnya ialah UMNO sudah tidak diyakini oleh rakyat yang ramai malahan ia juga tidak diyakini oleh sebahagian dari jumlah 3.5 juta ahli itu. Malahan dalam pilihanraya dahulu ramai ahli-ahli UMNO tidak memberikan sokongan kepada UMNO itu sendiri.

Tidak guna mempunyai ahli yang ramai dan mempunyai gulungan professional di dalamnya jika parti itu sudah tidak diyakini ramai. Seperti yang blog ini sebut UMNO sedang menghadapi krisis keyakinan yang sangat teruk dan apa sahaja yang dibuat oleh UMNO tidak lagi di hiraukan oleh orang ramai.

UMNO itu tidak diyakini kerana manusia pemimpin yang menerajui parti itu. Jika pimpinan yang sama cuba membawa perubahan tidak ada yang percaya ia akan berjaya seperti yang berlaku sebelum dan tahun-tahun yang lampau. Tidak masalah bagi parti UMNO itu, tetapi yang bermasalah ialah mereka yang memimpinnya dan sekali gus ia menjejaskan sokongan ramai terhadapnya.

Saya secara terbuka acapkali menyebut, jika parti terbesar ini masih dipimpin oleh yang ada pada hari ini ia akan gugur bersama pemimpinnya. Dan secara jujurnya apakah masalah yang sebenarnya dalam UMNO ini? Jawapannya ialah rakyat tidak mahu UMNO kerana rekod integriti kepimpinan sudah terjejas dan jika pemimpin yang sama membuat laungan untuk mentransformasikan parti, tidak siapa yang akan percaya dan meyakininya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...