Umno terus diketepikan dengan Pakatan terus cuba berubah


nur-jazlan

Rakyat yang akan memberikan undi dalam PRU 14 bukannya pemimpin dan ahli Umno sahaja.

Nur Jazlan, TMI

Amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 esok pasti dibayangi langkah politik diambil menteri besar Selangor yang baru, Mohamed Azmin Ali apabila memberikan ‘durian runtuh’ kepada 12 ahli pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan peruntukan RM200,000 untuk setiap kawasan DUN selain elaun, kereta rasmi serta setiausaha kerja kepada ketua pembangkang DUN Selangor daripada Umno.

Bajet Selangor yang terbesar di bawah kepimpinan Azmin membuktikan timbalan presiden PKR itu sedang ‘berlatih’ memimpin kerajaan pusat di Putrajaya seperti yang diimpikan Pakatan Rakyat (PR).

Sama ada kerajaan PR Selangor benar-benar ikhlas dalam pemberian itu sebenarnya, tidak penting tetapi ia adalah langkah ‘check’ Azmin seperti dalam permainan catur kepada Umno dan kerajaan BN di Putrajaya.

Rakyat kini melihat politik matang dimainkan PR terutama sekali Azmin selaku timbalan presiden PKR dengan menjadikan Selangor sebagai cermin kepada kerajaan pusat PR dan rakyat sudah pasti akan menilai dan membandingkan dengan kerajaan BN yang dipimpin Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Selepas Datuk Seri Najib yang menerajui sebagai pengerusi BN Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13, ‘membelasah’ Umno Selangor dalam konvensyen parti negeri itu kira-kira sebulan lalu, Umno Selangor terus dilihat tidak mampu menangani asakan bertali arus daripada PR apabila peranan mereka untuk mengembalikan Umno kembali berkuasa di negeri paling kaya di Malaysia semakin tenggelam.

Ketidakupayaan Umno Selangor itu jelas dihidu mantan Presiden Umno ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghantar isyarat jelas kepada kepimpinan parti negeri itu dengan mahu mereka digantikan kerana terus tidak mahu mengakui kelemahan mereka dalam mengatur strategi baru.

Secara tiba-tiba saya berasa PAU 2014 kali ini, dilihat cukup penting di kalangan pemimpin Umno dengan hampir semua negeri mengadakan konvensyen parti dengan menjemput Datuk Seri Najib dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikannya.

Pelbagai bengkel diadakan sempena konvensyen Umno di negeri-negeri bagi mencari formula mengapa Umno dilihat semakin lemah, apa sebenarnya yang menyebabkan rakyat termasuk orang Melayu terutama sekali di kawasan bandar dan separuh bandar dilihat semakin menjauhi parti.

Bagaimanapun, ucapan Datuk Seri Najib ketika merasmikan konvensyen Umno Selangor paling mencuri perhatian kerana jelas mengakui betapa berlakunya percakaran dan pergelutan daripada peringkat negeri ke pusat dalam menentukan calon PRU 13.

Bagi saya, ia sebenarnya sesuatu yang memelikkan juga kerana sebelum PRU 13, pucuk pimpinan parti menyatakan setiap calon sudah disaring daripada segi kesihatan, rekod jenayah atau rasuah dan mereka adalah benar-benar calon ‘winnable’.

Pada masa ketika itu, pucuk pimpinan juga memaklumkan setiap calon yang dipilih adalah hasil cadangan serta pandangan akar umbi iaitu kepimpinan parti di peringkat bahagian tetapi apa yang berlaku selepas pengumuman nama calon amatlah bertentangan dengan segala apa yang dikatakan pucuk pimpinan…

Dimanakah silapnya, siapakah yang bersalah? Ayat yang lazim digunakan bagi menjelaskan situasi ini adalah kita serahkan kepada presiden parti untuk menentukannya.

Mengambil contoh di Parlimen Pulai yang diwakili saya sekali ketua Umno Bahagian dan pengerusi BN bahagian ketika PRU 13 lalu, saya menyedari betapa pentingnya kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN ini dipertahankan daripada asakan pembangkang selepas mereka meletakkan Lim Kit Siang bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah yang bersebelahan dengan Parlimen Pulai dan saya sendiri ditentang Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Saya mengambil inisiatif memaklumkan kepada presiden parti keputusan Jawatankuasa Umno dan BN Bahagian Pulai sebelum PRU 13, calon-calon yang layak untuk bertanding di dua kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Pulai dalam terus memastikan semuanya kekal milik BN.

Namun, atas faktor tertentu atau mungkin campur tangan pihak tertentu pandangan daripada BN dan Umno Bahagian Pulai langsung tidak diendahkan dan akibatnya, satu kerusi DUN dalam Parlimen Pulai jatuh ke tangan DAP buat pertama kalinya.

Inilah kesilapan dilakukan Umno dan BN di peringkat pusat dalam PRU 13 lalu, yang saya percaya bukan hanya berlaku di Pulai tetapi juga di banyak kawasan Parlimen dan DUN apabila pucuk pimpinan tidak mengendahkan kehendak akar umbi di peringkat bahagian yang sebenarnya, mengetahui apa sebenarnya berlaku di kawasan mereka bukannya maklumat daripada pihak tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai ‘think tank’.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/nur-jazlan/article/umno-terus-diketepikan-dengan-pakatan-terus-cuba-berubah



Comments
Loading...