Mohd Najib Kecam Blogger Upahan Umno
A Kadir Jasin
PRESIDEN Umno, Mohd Najib Abdul Razak, semalam secara terbuka mendedahkan yang Umno mengupah blogger.
Inilah kali pertama seorang pemimpin atasan Umno dan kerajaan membuat pengakuan seperti itu.
Mohd Najib berkata, mereka ini makan gaji dengan Umno tetapi menyerang balik parti itu.
Kerana itu, beliau menyifatkan mereka sebagai bangang.
Merujuk kepada Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Mohd Najib berkata: “Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita. Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly.”
Tambah Mohd Najib lagi: “Bloggers kita ni cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang,” katanya dalam ucap penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.(Baca lanjut di sini)
Pendedahan dan herdikan Mohd Najib itu akan melemahkan lagi perang saraf Umno di alam siber. Tanpa pendedahan dan kecaman itu pun keberkesanan blogger Umno sudah dipersoalkan.
Seperkara lagi, kalau benar blogger-blogger upahan Umno itu berperang sesama sendiri dan menyerang pemimpin parti, ia adalah cerminan perpecahan dan ketidaktentuan dalam Umno sendiri.
Namun Mohd Najib bukan orang pertama mencemuh dan melabelkan blogger.