PAS Selangor tak setuju jawatan Timbalan Speaker II
Jamilah Kamarudin, The Malaysian Insider
PAS Selangor menolak cadangan DAP supaya diwujudkan satu lagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana merasakan jawatan sedia ada sudah mencukupi, kata Sallehen Mukhyi.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS (I) Selangor itu berkata, DAP perlu hentikan polemik jawatan itu bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR).
“Saya tidak bersetuju dengan tindakan menuntut satu lagi jawatan timbalan speaker. Yang ada pun sudah cukup. Timbalan speaker hanya diperlukan sewaktu sidang DUN sahaja.
“Kita tidak ada masalah dengan jawatan speaker dan timbalan speaker (sedia ada). Bagi saya, daripada kita berpolemik soal jawatan, nanti rakyat lihat kita gila jawatan.
“Lebih baik kita gunakan wang itu untuk perkara lain,” katanya kepada pemberita di luar sidang DUN hari ini.