Apakah DAP benar-benar mahukan timbalan speaker II atau ada agenda lain


DAP

Zulkifli Sulong, The Malaysian Insider

Keputusan DAP untuk tetap menuntut jawatan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setelah tewas menerusi undian baru-baru ini menimbulkan isu baharu dalam hubungan antara parti Pakatan Rakyat (PR).

Bukan saja para penyokong PAS yang tidak senang dengan sikap DAP itu bahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) juga mengambil kesempatan untuk menyerang kerabat PR itu.

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Shamsudin Lias mengambil kesempatan menyerang DAP dengan berkata, jawatan itu hanya sia-sia dan membazirkan wang rakyat apabila DAP menuntut diwujudkan jawatan timbalan speaker II selepas gagal mendapat jawatan timbalan speaker.

Bukan setakat itu saja, Umno pergi lebih jauh lagi dengan mendakwa DAP tamak kuasa.

“Kesimpulannya saya nyatakan DAP tamak kuasa, sudah ada speaker daripada DAP hendak pula timbalan speaker,” kata Shamsudin kepada pemberita di luar sidang DUN Selangor.

Tuntutan DAP terhadap kerusi timbalan speaker II ini menjadi lebih buruk lagi apabila orang yang banyak bercakap mengenainya adalah calon jawatan berkenaan sendiri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim yang juga timbalan setiausaha DAP Selangor.

Ng berkata permintaan itu wajar kerana DAP mempunyai 15 kerusi DUN, lebih banyak daripada PKR yang hanya ada 12.

Ng turut mengakui wujud perjanjian selepas tamatnya kemelut menteri besar apabila pemimpin PR bersetuju melantik satu lagi timbalan speaker.

“Persoalan sekarang kenapa PKR boleh ada menteri besar, tambah (kerusi) exco? Itu persoalan yang timbul,” katanya.

“Saya difahamkan, ia dipersetujui pemimpin PR,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Ng terpaksa diperbetulkan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang menjelaskan PR tidak pernah bersetuju dengan jawatan timbalan speaker II itu.

“Tidak benar. Pemimpin PR tidak pernah bersetuju untuk memberi kita timbalan speaker II itu.

“Kami (DAP) yang memintanya,” kata Pua kepada satu laman berita.

Ketika pemimpin DAP terpaksa mempertahankan permintaannya untuk mendapat jawatan itu, pemimpin PAS mempersoalkan tujuan DAP membuat tuntutan itu.

“Apa tujuan DAP sebenarnya. Apakah mereka bertujuan menekan PAS agar keluar PR atau ada tujuan lain,” soal seorang pemimpin kanan PAS yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata, isu itu terlalu remeh untuk diperjuangkan DAP setelah speaker DUN dipegang DAP iaitu Hannah Yeoh.

“Saya bimbang DAP mempunyai agenda lain,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...