PAS si lebai malang politik
Sebenarnya, PAS menjadi parti yang tidak lebih sebagai keldai politik untuk menjadi tunggangan PKR dan DAP, dan perkara ini bukan rahsia
Iman Hakim, Free Malaysia Today
PAS sejak penubuhannya dulu disinonimkan dengan kepimpinan ulama apabila ia membawa resapan politik jalur golongan Muda yang berakar daripada Ikhwan Muslimin, yang sarat dengan idea Islamis.
Malah perkembangan zaman memperlihatkan bagaimana PAS menjunjung perjuangan ulama dalam usaha meletakkan golongan ugamawan dalam teraju pemerintah, misalannya dengan mercupnya Revolusi Iran.
Tahun-tahun revolusi dan sesudahnya betapa PAS menggerakkan idealogi politik bertunjangkan ulama, kita dapat menyaksikan ulama-ulama muda seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan arwah Datuk Fadzil Noor mempengaruhi hala politik parti ini.
Stereotaip politik
Pada suatu ketika beberapa tahun yang lalu parti ini telah membuat perubahan yang dikatakan sesuai dengan keperluan dan tuntutan zaman, kerana mahu lari daripada politik stereotaip bahawa ia dipimpin dan menerima golongan agamawan sahaja.
Kemasukan golongan yang dinamakan sebagai profesional, yakni mereka yang mendapat pendidikan bukan aliran agama, membawa dimensi baru kepada PAS lantas memperlihatkan ketrampilan baru bahawa ia bersifat dinamis, tidak jumud dan fleksibel.
Maka sebab itu kita dapat lihat bagaimana golongan ini begitu dominan pada masa kini, sebagaimana kita dapat lihat Mohamed Sabu dan pemimpin lain seperti Datuk Husam Musa, Khalid Samad dan kelompok yang dipanggil sebagai Anwarin begitu kuat dan menjadi kuasa pendesak.
Percampurannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sudah memasuki dekad kedua ini juga memberikan wajah baru, sama ada disedari atau tidak, membawa ia kepada hala baru, liberalisme.
Sama ada diakui atau tidak, inilah ketrampilan PAS hari ini dan ia bukan sekadar dinilai pada kata pancingan politik dan manifesto, malah hal-ehwal semasanya memperlihatkan betapa pengaruh dan kepimpinan ulama sudah tercabar.
Puak liberal dalam PAS
Apakah PAS sudah benar-benar liberal atau ia sekadar satu gerak liuk politik yang mahu disesuaikan dengan keberadaannya dalam Pakatan Rakyat. Dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor baru-baru ini kita dapat melihat bagaimana kepimpinan Hadi dalam taruhan oleh golongan Anwarin, yakni puak liberal dalam PAS yang kelihatannya bercanggah kemahuan dengan kepimpinan ulama.
Perkara yang nampak ialah apabila Presidennya mengatakan sesuatu keputusan, Timbalannya pula akan memperkatakan sebaliknya. Malah, ketika barisan pimpinan ulama yang diketuai Mursyidul Am memperakukan sesuatu tindakan dan keputusan, pada peringkat yang satu lagi, akan diperkatakan suatu yang berbeda.
Pengertian liberal di sini bukan semata-mata pada fahaman atau aliran pemikiran pemimpin atau kelompok tertentu secara dalaman tetapi melihat kepada parti secara keseluruhan, apabila hilangnya kata pancingan kepimpinan ulama dan negara Islam kepada negara berkebajikan.
Falsafah politik
Liberalisme, aliran atau falsafah politik yang muncul pada abad ke-16, dan mercup sebagai suatu negara selepas pembentukan Amerika Syarikat, merupakan asas kepada kebangkitan liberalisme yang dinamakan sebagai pembebasan daripada penjajahan- negeri-negeri konfederasi Amerika Syarikat merupakan tanah jajahan British.
Liberalisme dalam konteks negara AS yang baru merdeka ini ialah ia menolak pemerintahan diraja dan feudal dan yang pentingnya ia meraikan kebebasan bersuara dan hak individu, dan ia dapat dilihat semasa perlembagaan AS dirangka pada abad ke-18.
Maka dapat difahami ia bukan sekadar liberalisme ekonomi tetapi politik apaila ia mengangkat hak dan kepentingan individu pada tempat teratas, yang mana negara atau kerajaan bukanlah aspek penting tetapi ia wujud atas kemahuan individu.
Apakah PAS juga sebuah parti yang menjunjung liberalisme atau sebenarnya ditunggangi oleh aliran pemikiran ini? Dalam kedua-dua keadaan ini sekali pun ia sebenarnya sebahagian daripada aliran pemikiran, sama ada ia dibina dan dibentuk daripada dalam hasil daripada limpahan golongan profesional yang pernah dibanggakan kemasukan mereka, atau ia mengikut rentak tari sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Benarkah PAS sudah diresapi dan ditenggalami fahaman liberalisme atau ia mengubah wajah kepada imej sederhana? Ia sebenarnya tidak sederhana kerana ia boleh dikatakan meninggalkan apa yang pernah didoktrinkan dengan kepimpinan ulama dan gagasan negara Islam.